Ineos, Firma milik Jim Ratcliffe telah secara rasmi menghantar bidaan untuk membeli Manchester United.

Jim Ratcliffe, salah seorang lelaki terkaya di UK, telah dikaitkan dengan pengambilalihan gergasi Liga Perdana Inggeris itu selepas keluarga Glazer, pemilik semasa, mengumumkan tahun lepas bahawa mereka bersedia mendengar tawaran.

Jurucakap Ineos memberitahu agensi berita PA: “Kami secara rasmi telah memasuki proses itu.”

Ketika dihubungi PA untuk maklum balas kepada kenyataan ringkas Ineos, United tidak membuat sebarang komen.

Radcliffe, peminat Manchetser United sejak zaman kanak-kanak, cuba untuk membeli Chelsea tahun lalu tetapi tawaran lewatnya ditolak kerana ketika itu Todd Boehly sudah pun berjaya meyakinkan Roman Abramovich.

Billionaire dari Britain itu kini bergelut untuk menamatkan pemilikan hampir 18 tahun Glazers ke atas United, yang menduduki tempat keempat dalam liga di bawah kendalian Erik ten Hag dan mengalahkan pesaing derbi setempat mereka, Manchester City hujung minggu lalu.

Glazers, yang menyelesaikan pengambilalihan kelab itu pada tahun 2005, telah terbukti sangat tidak popular di kalangan penyokong United yang tidak berpuas hati dengan model pemilikan dan kekayaan mereka namun prestasi di atas padang pula merosot.

Glazers terus melambakkan hutang kelab dan tidak serius dalam usaha membayar hutang tersebut. Yang dianggap sebagai langkah sengaja mereka meletakkan kelab itu dalam nilai hutang tinggi untuk menolak minat daripada mana mana pihak yang mahu membeli kelab itu.

Agak mengejutkan apabila beberapa bulan lalu Glazers sedia mendengar tawaran daripada mana mana pihak untuk membeli Man United ataupun menjadi rakan kongsi mereka dalam membangunkan semula kelab itu dari segi inftrastruktur dan juga prestasi di atas padang.

Jim Ratcliffe sendiri menjadi salah seorang individu kegemaran peminat Manchester United untuk mengambil alih pemilikan kelab itu.

Penyokong sering mengadakan bantahan terhadap pemilikan Glazers, dengan kali terakhir United memenangi Liga Perdana pada 2013.

Ineos berminat untuk mengembangkan portfolio sukannya, yang sudah termasuk pemilikan pasukan Ligue 1 Perancis Nice dan pasukan Switzerland iaitu FC Lausanne-Sport dan penajaan pasukan berbasikal Ineos Grenadiers.

Sebagai perbandingan Jim Ratcliffe bakal menjadi pemilik ketiga terkaya di EPL jika dia berjaya memiliki Manchester United.