Leeds United pantas mencari pengganti kepada Marcelo Bielsa yang dipecat apabila secara rasminya mengumumkan kehadiran Jesse Marsch sebagai pengurus baharu kelab saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.

Jodoh Bielsa bersama Leeds United yang terjalin sejak 15 Jun 2018 terhenti pada dua hari lalu selepas aksi hambar ditampilkan anak buahnya sehingga menyebabkan mereka kini berada di tangga ke-16 hanya dengan lima kemenangan, lapan keputusan seri dan 13 kekalahan.

Prestasi buruk tersebut menyebabkan Leeds United hanya dua mata dihadapan pasukan yang menghuni zon penyingkiran [tangga ke-18], Burnley dan lebih parah lagi, The Peacocks telah dibolosi 21 gol pada enam aksi terakhir dalam kempen liga.

Sehubungan dengan itu, Bielsa terpaksa mengucapkan selamat tinggal dan Leeds United memilih Marsch untuk mengubah nasib kelab tersebut dalam aksi yang masih berbaki 13 perlawanan.

Kredit Foto: Leeds United

Marsch merupakan bekas pemain tengah skuad kebangsaan Amerika Syarikat dan pernah menjadi pembantu jurulatih skuad tersebut sebaik sahaja bersara sebagai pemain profesional.

Selain itu, beliau turut pernah membimbing dua pasukan Major League Soccer (MLS) iaitu Montreal Impact dan New York Red Bulls. Marsch kemudiannya berkelana ke Austria untuk bersama RB Salzburg lalu membantu kelab tersebut muncul juara ‘double’ bagi dua musim berturut-turut.

RB Leipzig menjadi kelab terakhir dilatih oleh Marsch dimana beliau hanya mampu bertahan selama 17 perlawanan sebelum mencapai kata sepakat untuk meninggalkan kelab Bundesliga itu.

Leeds United menerusi satu kenyataan rasmi dikeluarkan Pengarah Sukan, Victor Orta mengakui bahawa kelab itu sudah mula memerhatikan kemampuan Jesse Marsch sejak beliau membimbing RB Salzburg dan mereka jelas mengalu-alukan kehadirannya ke dalam pasukan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:

Tengku Amir Harap Skuad Harimau Malaya Raih Banyak Kejayaan Dibawah Kendalian Kim Pan-gon

RASMI: FIFA/UEFA Gantung Kelab Dan Pasukan Kebangsaan Rusia Dari Semua Pertandingan

Spartak Moscow Bakal Disingkirkan Dari UEL

 

Sumber