Kelab Bola Sepak Sri Pahang (SPFC) hari ini telah memperkenalkan jersi baharu untuk saingan Liga Malaysia musim 2023 tajaan syarikat pembekal peralatan sukan, Hakka Clo.

Rekaan jersi kali ini kekal dengan warna kuning-biru untuk jersi home manakala biru-kuning untuk jersi away. Turut diperkenalkan jersi ketiga berwarna putih. Penjaga gol akan memakai jersi berwarna biru, merah jambu dan hijau.

Lebih menarik, jersi ini boleh didapati dengan harga serendah RM39.99 (fan issue) dan RM149.99 untuk player issue. Ia juga dijual secara dalam talian menerusi laman web http://www.hakkaclo.com/product ataupun membeli bersama agen-agen sah Hakka clo.

Bagaimanapun, setakat ini hanya jersi player issue yang dijual secara rasmi manakala jersi jenis fan issue difahamkan akan mula dijual pada minggu hadapan.

Kualiti jersi fan issue atau jersi replika berbeza dengan jersi authentic (player issue) dari segi teknologi pembuatannya, kadar keregangan dan jenis fabrik, sekaligus menjadikannya lebih murah tetapi ia masih berkualiti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hakkaclo, Noor Soallihin Mohamed, rekaan jersi Sri Pahang mempunyai teknologi cepat kering dan logo rasmi kelab direka secara ekslusif.

“Hakkaclo mengutamakan kualiti dan keselesaan kepada pemakainya. Fabrik yang digunakan bercorak jelas esklusif dan telah diuji di makmal. Ia 100 peratus microfiber dengan panel sublimation tersuai.

“Patch getah Tatami 3D esklusif bagi logo HK dan juga logo SPFC di depan dan belakang menjadikannya lebih berketerampilan. Logo penaja dan label penjagaan dengan Revo Print.

“Selain itu, panel sisi berjaring memberikan lebih banyak aliran udara dan keselesaan. Kelebihan tambahan, ia diperbuat daripada tekstur material lembut dan selesa, dengan teknologi cepat kering. Dengan potongan epal dan kemasan premium, jersi SPFC 2023 akan kelihatan lebih bergaya,” kata Soallihin Mohamed.

SPFC musim ini dibarisi 25 pemain barisan utama terdiri 19 pemain tempatan dan enam tonggak import.

Ketua jurulatihnya, Fandi Ahmad menyasarkan kedudukan sekurang-kurangnya lima pasukan teratas pada saingan Liga Malaysia 2023. Beliau menyifatkan ia adalah sasaran yang realistik berdasarkan prestasi pemainnya.

Skuad Tok Gajah telah pun membuat persiapan awal sejak bulan lepas termasuk mengadakan kem latihan pra musim di Bangkok, Thailand.