Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama syarikat sukan terkemuka dunia, Nike hari ini telah lancarkan jersi baharu skuad Harimau Malaya (Malaysia) bagi tahun 2022/2024 di Football Republic, Sunway Piramid.

Jersi ini bakal dipakai oleh para pemain bermula saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang akan berlangsung pada bulan Disember depan.

Peminat juga mungkin akan menyaksikan jersi ini dipakai untuk kali pertama pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kemboja pada 9 Disember.

Nike kali ini memperkenalkan warna kuning sebagai warna utama untuk jersi ‘HOME’ berserta warna hitam pada bahagian leher. Namun, terdapat perbezaan dari segi corak pada jersi ‘Players Issue’ dan ‘Replica’.

Jersi ‘Replica’ yang tiada sebarang corak dipakai oleh para penyokong dan difahamkan berharga RM299.00 sehelai. Para penyokong boleh mendapatkan jersi tersebut mulai hari ini, 17 November 2022 secara eksklusif di Football Republic Sunway Pyramid dan secara dalam talian di www.nike.com/my dan Nike App.

Ia disusuli penjualan secara menyeluruh di outlet terpilih Al-Ikhsan Sports dan Football Republic seluruh negara serta di www.al-ikhsan.com bermula minggu depan iaitu pada Khamis, 24 November 2022.

Manakala jersi ‘AWAY’ Harimau Malaya tampil dengan warna hitam sepenuhnya dan Nike menggunakan pendekatan ‘raglan’ pada rekaan jersi tersebut.

Malah, ia turut diserikan dengan corak khas seperti yang terdapat pada jersi skuad kebangsaan Arab Saudi bagi menghadapi temasya Piala Dunia 2022.

Jersi ini tertiris terlebih dahulu di website rasmi Nike pada minggu lepas sebelum dipadam namun peminat sempat tangkap layar rekaan jersi tersebut sekaligus tular di laman media sosial.

Jersi Away Harimau Malaya 2022-2024

Jersi penjaga gol pula berwarna hijau tanpa sebarang corak dan turut mempunyai jersi kedua berwarna biru muda.

Bagaimanapun, tinjauan kami di media sosial mendapati kebanyakan peminat kurang gemar rekaan jersi tersebut dan mereka berharap Nike lebih kreatif menggunakan kombinasi warna hitam dan kuning yang sudah sebati dengan skuad Harimau Malaya.

Selain itu, peminat juga mahu Nike mempertimbangkan untuk turunkan harga jersi Malaysia yang terlalu mahal kerana rekaan jersi jenis ‘Replica’ dianggap kosong dan tiada keistimewaan.