Jepun mempamerkan semangat juang tinggi untuk mengejutkan juara empat kali, Jerman 2-1 pada aksi kumpulan E Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Khalifa International Stadium, Doha sebentar tadi.

Para pemain Jerman seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyudahkan peluang terhidang tatkala mereka menguasai permainan sebaik aksi dimulakan pengadil dari El Salvador, Ivan Arcides Barton Cisneros.

Jepun hampir dihadapan seawal minit kelapan apabila Daizen Maeda berjaya menolak masuk bola hasil hantaran lintang Junya Ito. Bagaimanapun, jaringan tersebut dibatalkan kerana Maeda dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Selepas serangan tersebut, anak buah Hansi Flick tampil dengan lebih tersusun untuk mengawal permainan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-33 menerusi sepakan penalti Ilkay Gundogan.

Sepakan tersebut diberikan selepas penjaga gol Jepun, Shuichi Gonda melakukan kekasaran terhadap David Raum dalam kawasan penalti.

Ketika permainan memasuki masa kecederaan babak pertama, Kai Havertz hampir melebarkan kedudukan tetapi jaringan dibatalkan kerana beliau berada dalam kedudukan ofsaid.

Babak kedua menyaksikan Jerman tampil dengan lebih garang untuk menambah jaringan tetapi Gonda cukup kental bertahan bagi menghalang gawangnya daripada dibolosi apabila beliau menyelamatkan empat percubaan berbahaya berturut-turut dimana tiga daripada menerusi Serge Gnabry.

Skrip yang sama seperti dilakarkan oleh Arab Saudi ketika menundukkan Argentina, semalam apabila Jepun secara tiba-tiba mendapat semangat luar biasa untuk mendapatkan jaringan.

Berpunca daripada hantaran lintang Takumi Minamino dihalang oleh Manuel Neuer pada minit ke-75, Ritsu Doan yang tidak dikawal pertahanan mengambil kesempatan atas peluang terhidang untuk menolak masuk bola bagi kembali menyamakan kedudukan.

Gol tersebut nyata menyemarakkan lagi api perjuangan barisan pemain Jepun dan mereka berjaya menambah jaringan kedua berselang lapan minit kemudian menerusi seorang lagi pemain gantian, Takuma Asano.

Asano yang mendapat hantaran jauh daripada Ko Itakura daripada kawasan sendiri melarikan bola untuk melepasi kawalan pemain pertahanan, Nico Schlotterbeck lalu melepaskan rembatan dari kawasan sempit untuk menewaskan Neuer.

Tersentak dengan dua jaringan tersebut, Jerman cuba bangkit untuk mendapatkan jaringan tetapi pertahanan Jepun kental bertahan sekali gus menghadiahkan kemenangan bermakna buat wakil Asia itu.