Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Dominik Livakovic muncul wira buat Croatia apabila beliau bertindak cemerlang ketika penentuan sepakan penalti untuk memastikan pasukannya mara ke suku akhir Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Jepun 3-1.

Artikel Berkaitan:

Permainan terpaksa berlanjutan ke penentuan sepakan penalti selepas aksi sebenar 120 minit terikat dengan 1-1.

Croatia yang turun selaku naib juara edisi lalu serta berada di kedudukan ke-12 ranking dunia dilihat lebih menguasai permainan sebaik aksi dimulakan pengadil dari Amerika Syarikat, Ismail Elfath.

Namun, Jepun yang melakar kejutan ke atas Jerman dan Sepanyol di peringkat kumpulan nyata bukanlah sebuah pasukan yang mudah untuk dijinakkan.

Hal ini dibuktikan apabila skuad kendalian Hajime Moriyasu itu mendapat peluang keemasan seawal minit ketiga menerusi percubaan Shogo Taniguchi.

Tandukan pemain pertahanan itu susulan hantaran jauh dilakukan Ritsu Doan hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Croatia yang dikawal Livakovic.

Lima minit kemudian, giliran Ivan Perisic pula mendapat peluang keemasan untuk memisahkan kedua-dua pasukan berikutan kesilapan Takehiro Tomiyasu yang melakukan tolakan lemah ke belakang.

Perisic yang mendapat peluang terbaik melepaskan rembatan jarak dekat tetapi penjaga gol Jepun, Shuichi Gonda lebih bersedia untuk menafikan gawangnya daripada dibolosi.

Selepas itu, Jepun terus menggandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-43 menerusi jaringan Daizen Maeda untuk membuka tirai jaringan.

Berpunca daripada hantaran jauh Doan yang mencari Maya Yoshida dalam kawasan penalti, kapten Jepun itu kemudiannya menguis bola bagi memberikan ruang buat Maeda untuk menyempurnakan peluang terhidang.

Kelebihan itu bagaimanapun kembali dipadamkan Croatia apabila Perisic melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola hasil hantaran Dejan Lovren ketika memasuki minit ke-53 sekali gus menewaskan Gonda.

Aksi lebih menarik ditampilkan kedua-dua pasukan selepas itu dimana rembatan padu Wataru Endo pada minit ke-57 diselamatkan Livakovic. Selepas itu, percubaan voli menarik daripada Luka Modric pula diselamatkan Gonda pada minit ke-63.

Berselang tiga minit kemudian, Ante Budimir terlepas peluang terbaik untuk menambah gol kedua selepas tandukannya ketika beliau tidak dikawal pertahanan hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Jepun.

Tiada jaringan terhasil menyaksikan perlawanan terpaksa dilanjutkan ke penentuan masa tambahan 30 minit bagi mencari pemenang.

Kaoru Mitoma mendapat peluang pada minit ke-104 selepas beliau melakukan serangan balas pantas ke arah kubu lawan dan melepaskan rembatan, namun Livakovic lebih tangkas untuk menafikan percubaan bahaya tersebut.

Kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Livakovic muncul wira buat Croatia apabila beliau dengan cemerlang menyelamatkan tiga sepakan Jepun yang diambil Takumi Minamino, Kaoru Mitoma dan Maya Yoshida.

Sepakan keempat yang diambil Mario Pasalic memastikan Croatia mara ke suku akhir dengan kemenangan 3-1 untuk mereka menanti pemenang antara Brazil dan Korea Selatan.

Sepakan penalti

Jepun

1) Takumi Minamino – Diselamatkan Livakovic

2) Kaoru Mitoma – Diselamatkan Livakovic

3) Takum Asano – Gol

4) Maya Yoshida – Diselamatkan Livakovic

Croatia

1) Nikola Vlasic – Gol

2) Marcelo Brozovic – Gol

3) Marko Livaja – Terkena tiang gol

4) Mario Pasalic – Gol