Costa Rica segera bangkit daripada episod hitam dibelasah minggu lalu selepas berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Jepun pada aksi kedua kumpulan E Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Ahmed bin Ali Stadium, Qatar sebentar tadi.

Kemenangan penting tersebut sekali gus menghidupkan kembali peluang skuad kendalian Luis Fernando Suarez Guzman itu untuk turut sama mengintai peluang ke pusingan kalah mati.

Manakala, keputusan ini nyata menghampakan Jepun kerana mereka jelas berada di mood terbaik untuk meraih kemenangan kedua selepas kejayaan mengejutkan Jerman pada aksi sulung.

Malah, Jepun juga memiliki ranking lebih baik berbanding lawan daripada Amerika Utara itu.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai aksi di babak pertama kerana tiada sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol lawan masing-masing dapat dijelmakan kedua-dua pasukan.

Keadaan berubah pada baki 45 minit seterusnya dengan Jepun memulakan aksi babak kedua dengan cukup garang susulan tiga percubaan pantas dapat dihasilkan.

Bagaimanapun, percubaan daripada Hidemasa Morita dan Takuma Asano berjaya diselamatkan Keylor Navas manakala rembatan jarak dekat oleh Wataru Endo pula dihalang dengan baik pemain pertahanan, Oscar Duarte.

Keysher Fuller muncul wira buat pasukan ranking ke-31 dunia itu apabila beliau mengambil kesempatan berikutan kesilapan pertahanan Jepun yang gagal mengawal bola dengan baik di kawasan sendiri.

Beliau yang tidak dikawal pertahanan dengan tenang melakukan percubaan ketika penjaga gol Jepun, Shuichi Gonda sedikit keluar daripada posisinya untuk memberikan kelebihan buat Costa Rica pada minit ke-81.

Lebih menarik, ia juga merupakan percubaan tepat pertama ke arah pintu gol lawan yang dimiliki oleh Costa Rica selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Jepun menggandakan asakan untuk kembali menyamakan kedudukan tetapi Navas dan barisan pertahanannya kental bertahan untuk mengekalkan kedudukan tersebut serta menghadiahkan kemenangan sulung buat Costa Rica.

Tugas berat menanti Costa Rica pada perlawanan terakhir apabila akan bertemu Jerman manakala Jepun pula bakal menghadapi cabaran getir Sepanyol.