Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan tempoh pendaftaran pertama pemain yang sepatutnya berakhir pada 12 Februari 2021 telah dilanjutkan sehingga 19 Februari 2021.

Menurut kenyataan rasmi MFL, tempoh lanjutan itu mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) disebabkan oleh beberapa kekangan yang dihadapi oleh pasukan Liga Malaysia sepanjang wabak COVID-19 terutamanya melibatkan pendaftaran pemain import.

“Sebelum ini MFL telah buat keputusan bahawa tempoh pendaftaran pertama Liga Malaysia akan bermula pada 21 Januari 2021 sehingga 12 Februari 2021.

“Namun dalam perjumpaan dengan CEO-CEO kelab, keputusan baharu dibuat untuk MFL cuba memanjangkan tempoh pendaftaran pertama ini disebabkan beberapa kesukaran dalam tempoh COVID-19 ini untuk kelab-kelab membuat pendaftaran terutama melibatkan pendaftaran pemain import mereka.

“Dengan itu, MFL telah membuat permohonan kepada FIFA melalui FAM, untuk diberikan kelonggaran menyambung tempoh pendaftaran pertama ini kepada 19 Februari 2021.

“Jadi Alhamdulillah pada malam tadi, jam 9 malam, FAM telah menerima emel daripada FIFA, maka kita dimaklumkan bahawa FIFA telah meluluskan permohonan MFL menerusi FAM dan ini merupakan perkembangan yang amat baik bagi pasukan atau kelab yang terlibat dalam Liga Malaysia kerana mereka mempunyai masa seminggu lagi untuk memastikan pemain-pemain mereka benar-benar bersedia untuk menghadapi Liga Malaysia.

“Jadi, kita berharap dengan penyambungan selama satu minggu ini, maka pasukan akan dapat menggunakan tempoh yang ada sebaik mungkin kerana tidak ada lagi masa tambahan atau penyambungan lain yang boleh diberikan oleh FIFA,” katanya

Tambah Dato’ Ab Ghani, kebenaran yang diberikan oleh FIFA itu pastinya memberikan suntikan semangat buat kelab-kelab yang telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak kerajaan bagi memulakan latihan pada 15 Februari ini sebelum sepak mula Liga Malaysia pada 5 Mac depan.

“Banyak perkara-perkara yang memihak kepada MFL dan juga kelab-kelab di mana kerajaan membenarkan latihan dan perlawanan Liga Malaysia dijalankan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini serta kebenaran lanjutan tempoh pendaftaran pertama oleh FIFA.

“Maka, gunakan kelebihan yang diberikan ini dengan baik untuk memastikan Liga Malaysia ini dapat berjalan dengan baik, ikuti SOP (Prosedur Operasi Standard) yang telah diberikan petang semalam kepada semua pasukan seperti yang telah disarankan oleh kerajaan melalui dua pilihan iaitu ‘home quarantine training’ dan ‘camp quarantine training’.

“Maka, semua pasukan harus memastikan agar semua pemain dan pegawai yang terlibat mematuhi SOP ini untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku dalam Liga Malaysia ini,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

RASMI: Melaka United Umum Alex Gonçalves Dan Manuel Ott Sebagai Pemain Import Baharu

Selangor 2 Diperkuatkan ‘Wonderkid’ Myanmar Hadapi Saingan Musim 2021

Mempunyai Ketinggian 191 cm, Mamadou Wague Bakal Berganding Dengan Herold Goulon Dalam Skuad Pahang