Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham sedang mencari penaja untuk menerbangkan pemain ke Johor bagi aksi Liga Super 2023 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu ini.

Menerusi laman media sosial Facebook miliknya, Zamsaham mencari tajaan khas dari mana-mana pihak yang berminat untuk membawa pemain TRW Kelantan yang akan turun menentang JDT.

Di ruangan komen posting tersebut, peminat menggesa agar Zamsaham berbincang dengan dua syarikat penerbangan terkemuka tanah air iaitu Air Asia dan Malaysia Airlines bagi mendapatkan penaja untuk memudahkan urusan pemain dan pegawai pasukan.

Dalam masa yang sama, Norizam memberitahu pasukannya tidak mengalami masalah pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan dimana setakat ini gaji berjaya dilangsaikan namun kadang-kadang ada sedikit kelewatan.

“Alhamdulillah, gaji pemain dan staf kejurulatihan semua tiada sangkut cuma kadang-kadang adalah lewat seminggu dua. Lewat tapi dapat. Faham sahaja industri bola Malaysia bagaimana. Kita bukan macam sesetengah pasukan yangg sangkut lebih 5 bulan sehingga lesen digantung. Jadi setakat ini kita lancar dan semua gaji selesai.

“Bab EPF tentu sahaja kita akan bayar kerana semuanya berperingkat. InshaAllah kalau pemain tunjukkan aksi yang bagus dan menang selalu serta stadium penuh kita akan dapat selesaikan lebih awal. Setakat 3 tahun saya pegang bola ni, tiada sorang pemain dan pengurusan tak dapat gaji. Kalau ada tak dapat, tentu ianya ada isu dan kes tertentu. Dan saya sentiasa ambil berat hal staf hinggakan mereka semua ada akses untuk hubungi saya secara peribadi jika mereka terdesak nak pakai duit segera atau yangg nak pinjam, dapatkan gaji awal,” katanya.

Setakat tiga perlawanan Liga Super yang dihadapi, Kelantan berjaya mencatat satu kemenangan ketika berdepan Penang dan mengalami dua kekalahan ketika menghadapi Kuching City dan Sri Pahang.