JDT berjaya mencipta satu lagi invincibles dalam sejarah kelab mereka. JDT turun melayan kunjungan Sabah di Stadium Sultan Ismail dalam aksi terakhir Liga Super Malaysia musim ini.

JDT sudah pun disahkan sebagai juara MSL buat kali kesembilan berturut turut. Namun bagi Sabah, ini adalah aksi untuk merebut slot Piala AFC.

JDT turut mengintai rekod tanpa kalah atau invincibles sekali lagi pada musim ini.

JDT memulakan perlawanan dengan dominan pada awal 10 minit. Namun tidak banyak ciptaan peluang dibuat.

Pada minit ke-14, Matthew Davies melakukan hantaran cantik ke dalam kotak penalti, namun Dominic Tan berjaya mengeluarkan bola.

3 minit kemudian, JDT mendapat gol pertama daripada – tak lain tak bukan – Bergson Da Silva, yang menyambar hantaran Arif Aiman. Mengukuhkan lagi statusnya sebagai penjaring terbanyak musim ini.

Pada minit ke-30, Bergson melepaskan percubaan dari jarak jauh. Tetapi bola ditepis Khairul Fahmi Che Mat. Ianya tampanan yang sangat baik daripada bekas penjaga gol kebangsaan itu.

Khairul Fahmi kemudian terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan dan digantikan dengan Damien Lim.

Pada minit ke-39, Arif Aiman melakukan gol berkelas dunia daripada sepakan percuma luar kotak penalti. Itu adalah gol ke-3 Arif Aiman dalam saingan Liga Super musim ini.

Tiga minit kemudian, Arif Aiman menari nari dengan kelicikannya masuk ke dalam kotak penalti dan melakukan trivella. Tetapi bola diselamatkan Damien Lim.

Separuh masa pertama berakhir dengan JDT 2 Sabah 0.

Bersambung babak kedua, JDT memulakannya dengan tempo sederhana. Sabah kekal dengan formasi defensif 5-4-1.

Pada minit ke-55, Bergson melakukan libasan gunting yang spektakular menewaskan Damien Lim untuk menjadikan kedudukan 3-0 buat tuan rumah.

Shahrul Saad kemudian melakukan tandukan yang bahaya dan sedikit sahaja tersasar.

Tidak lama selepas itu, Bergson melakukan satu lagi libasan gunting dan terus masuk. Namun ketika Bergson meraikan hatriknya, penjaga garisan menaikkan bendera ofsaid.

Pada minit ke-75, berlaku kekalutan di hadapan gawang Sabah. Arif Aiman yang menjangkakan dia ofsaid, melihat ke arah penjaga garisan dan bendera kekal turun, Arif melorongkan kepada Bergson namun gagal disudahkan.

Arif memenangi bola sekali lagi dan meleretkan kepada Bergson, sekali lagi Bergson mempersiakan siakan peluangnya untuk hatrik.

Pada minit ke-80, pemain muda JDT, Daryl Sham menerima bola dalam kotak penalti. Malangnya percubaannya melambung tinggi.

Leandro hampir menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-86, namun Damien Lim berani mara dan menghadang bola.

Tamat perlawanan, JDT 3 Sabah 0.

Sabah menamatkan saingan di tangga ke-3 musim ini di belakang Terengganu. Buat masa ini mereka terlepas ke slot AFC. Namun jika JDT atau Terengganu menjadi juara Piala Malaysia, maka Sabah akan mara dengan status pasukan ketiga dari MSL.

JDT pula mencatatkan satu lagi musim invincibles selepas kali pertama melakukannya pada 2016. Pada saingan 2020, JDT turut tanpa kalah namun ketika itu liga cuma 11 perlawanan kerana pandemik.