Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mempamerkan kebangkitan untuk mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Skrip yang sama seperti aksi di Stadium Darul Aman berlaku selepas Kedah terlebih dahulu mendapatkan jaringan pendahuluan dan kemudiannya juara liga itu bangkit untuk mencatatkan kemenangan.

JDT yang turun dengan misi untuk mengekalkan rekod tanpa kalah seperti kebiasaan menguasai sebahagian besar pemainan dengan Leandro Velasquez menjadi nadi yang menggerakkan permainan.

Ia jelas dibuktikan apabila anak buah Hector Bidoglio itu hampir membuka tirai jaringan seawal minit kelima tetapi percubaan Akhyar Rashid selepas menerima hantaran lintang Arif Aiman Hanapi hanya singgah di palang gol.

Dua minit kemudian, percubaan daripada jarak jauh menerusi situasi sepakan percuma yang diledakkan Leandro turut terkena palang gol ketika penjaga gol, Mohd Shahril Sa’ari sudah pun tertewas.

Ketika JDT semakin giat menggandakan asakan untuk memburu jaringan, Ronald Ngah Wanja yang menerima lorongan cantik daripada Mahmoud Al Mardi berjaya membuatkan kem tuan rumah tersentak apabila beliau tenang melakukan percubaan lambung menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-45.

Bagaikan mendapat tonik berguna pada babak kedua, JDT terus tampil dengan lebih baik berbanding Kedah dan berjaya mendapatkan jaringan yang diharapkan.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Gol pertama mereka terhasil menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Bergson da Silva pada minit ke-50 selepas bola terkena tangan pemain pertahanan, Mohd Loqman Hakim Marzuki dalam kawasan penalti.

Muhammad Syafiq Ahmad menjadikan kedudukan 2-1 ketika permainan memasuki minit ke-63 apabila beliau yang tidak dikawal pertahanan Kedah melakukan ‘backheel’ cantik selepas menerima hantaran Afiq Fazail lalu menewaskan penjaga gol gantian, Muhammad Ilham Amirullah Razali.

Berselang lima minit kemudian, gerakan lincah Bergson yang mudah melepasi kawalan pertahanan Kedah telah memberikan ruang seluasnya buat Syafiq untuk menyudahkan peluang terhidang bagi meletakkan namanya sekali lagi sebagai penjaring.

Tidak cukup dengan jaringan itu, Bergson menambah jaringan keempat selepas beliau menanduk masuk bola hasil hantaran dilakukan Safawi Rasid pada minit ke-89 untuk gol ke-27 peribadi buatnya pada musim ini.

Keputusan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan kemenangan ke-16 buat JDT selepas mengharungi 21 perlawanan musim ini.

Lawan terakhir yang perlu dihadapi oleh juara sembilan kali saingan Liga Super ini ialah Sabah di laman sendiri.