Perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor semalam merupakan perlawanan terakhir JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kerana mereka bakal beraksi di Stadium baharu yang terletak di Gelang Patah, Johor pada musim depan.

Bagaimanapun, JDT meninggalkan stadium tersebut dengan pencapaian yang cukup hebat sejak tahun 2013 apabila merangkul 13 piala, 75 perlawanan ‘home’ tanpa kalah serta meraih kejuaraan Liga Super sebanyak 6 kali berturut-turut.

Melihat kepada transformasi stadium ini, ia adalah bukti betapa DYAM Tunku Mahkota Ismail begitu komited dalam membangunkan bola sepak Johor. Daripada sebuah stadium usang, kini ianya sudah menjadi stadium bola sepak moden dengan penjagaan padang yang cukup rapi.

Stadium Larkin juga telah menganjurkan kejohanan AFC Champions League buat pertama kali dalam sejarah pada tahun ini dan pastinya akan dikenang selama-lamanya oleh peminat Harimau Selatan.

Stadium Sultan Ibrahim
Gambar Stadium Baharu JDT pada Majlis Pembukaan Rasmi nanti. GRAFIK: JST

Dalam perlawanan menentang Selangor semalam, JDT berdepan tentangan sengit daripada anak buah B. Satiananthan yang kerap memberikan ancaman berbahaya kepada benteng pertahanan mereka.

Meskipun mencatat kemenangan 2-1 tetapi ia bukan satu bekalan selesa buat skuad kendalian Benjamin Mora untuk di bawa ke Stadium Shah Alam, apabila Selangor sebelum ini mempamerkan kebangkitan dengan menewaskan juara bertahan, Perak 3-2 pada aksi suku akhir Piala Malaysia.

Skuad Harimau Selatan membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi penyerang sensasi negara, Muhammad Syafiq Ahmad yang bijak melepasi perangkap ofsaid untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Kegembiraan pasukan tuan rumah hanya bertahan tiga minit apabila penyerang berbisa skuad Gergasi Merah, Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan pada minit ke-17 sekali gus meniupkan semangat pasukan pelawat, namun kedudukan kekal 1-1 sehingga rehat.

Gol kemenangan JDT disumbangkan pemain import, Leandro Velazquez selepas bekas pemain remaja kebangsaan Argentina itu meledak gol memukau dari luar kotak penalti pada minit ke-49 sekali gus melengkapkan kemenangan terakhir pasukan tersebut di Stadium Larkin.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Stadium baharu JDT.

Stadium Sultan Ibrahim Antara 3 Buah Stadium Dirantau Asia Tenggara Guna Rumput Zeon Zoysia

TMJ Bercita-Cita Jadikan Stadium Sultan Ibrahim Nombor Satu Di Asia Tenggara