Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi mencipta sejarah baharu apabila menerima sijil pengiktirafan daripada ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR) selaku kelab pertama di Malaysia memenangi Liga Super sebanyak enam kali berturut-turut (2014-2019) di Dataran Bandaraya Johor Bahru hari ini.

Sijil tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong kepada Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim sambil disaksikan oleh Setiausaha Kehormat PBNJ, Kapten Mohd Anizam Jamian; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

67616201_1400546400108655_8898186340454105088_n
FOTO: JST

Pada tahun 2015, JDT pernah menerima pengiktirafan daripada MBOR sebagai pasukan yang pertama di Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC. Selain itu, mereka juga mencipta rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan liga pada tahun 2016.

Mengulas mengenai pencapaian hebat JDT itu, pemilik kelab, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menyifatkan kejayaan tersebut merupakan hadiah kepada para penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan sama ada kalah atau menang.

“Mentaliti bukan sahaja untuk pasukan tetapi juga kepada penyokong yang perlu selaras dengan projek bola sepak JDT. Tidak ada mana-mana pasukan yang pernah menang liga lebih dari dua kali berturut-turut tetapi kita menang enam kali berturut-turut.

“Penyokong sepatutnya menyambut kejayaan ini dengan perasaan bangga. Bukan mudah untuk memastikan pasukan memenangi setiap perlawanan sepanjang masa. Sebagai contoh, Juventus selepas dinobatkan selaku juara Liga Serie-A, mereka tewas dua perlawanan dan seri tiga perlawanan pada baki perlawanan.

“Tetapi ia masih satu pencapaian yang menakjubkan. Sama seperti pencapaian hebat JDT yang perlu diberi penghargaan kepada kelab, para pemain dan Keluarga JDT,” katanya dalam kenyataan di laman facebook JOHOR Southern Tigers.