Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menyumbangkan juala tiket bagi semua perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sehingga bulan Ramadhan kepada mangsa banjir Johor.

Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Alistair Edwards dimana pemilik kelab, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) untuk berbuat demikian.

“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menitahkan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) agar kesemua jualan tiket perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim sehingga akhir Ramadan disalurkan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di negeri Johor.

“Ini melibatkan perlawanan Liga Super menentang Kelantan (11 Mac), Sabah (31 Mac), Kedah (9 April) dan perlawanan Piala FA bertemu PDRM (14 April). Kesemua dana akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir melalui pejabat-pejabat daerah di negeri Johor,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan.

Sebelum ini, pemilik Kedah Darul Aman (KDA), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengumumkan sebanyak 10 peratus hasil kutipan tiket perlawanan Liga Super antara KDA FC menentang PDRM pada minggu lalu akan disumbangkan kepada mangsa banjir di Johor.

Menurut kenyataan rasmi, ia adalah sumbangan ikhlas daripada kelab tersebut untuk membantu meringankan beban ditanggung oleh rakyat Johor susulan musibah banjir yang melanda negeri itu.

“Simpati dengan nasib mangsa banjir di Johor, KDA FC akan menyumbangkan sebanyak 10 peratus dari kutipan tiket perlawanan LS3 antara KDA FC dan PDRM FC untuk disalurkan kepada pihak berwajib di Johor.

“Ini hari mereka ditimpa musibah, sedikit sebanyak tanda mengingati dan meringankan beban mangsa banjir di Johor.

Langkah yang dilakukan oleh KDA FC itu turut mendapat pujian daripada peminat bola sepak tempatan sambil mendoakan urusan rakyat Johor dipermudahkan.

Menurut laporan Berita Harian, Johor merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu seramai 46,916 orang membabitkan 13,511 keluarga ditempatkan di 284 PPS.