Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengutip 3 mata pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan AFC Champions League (ACL) 2021 tidak menjadi kenyataan apabila mereka terikat 0-0 dengan Ratchaburi.

Dalam perlawanan ini, JDT kembali dengan kesebelasan utama terbaik mereka manakala Ratchaburi FC membuat kejutan apabila menyenaraikan seorang pelakon dan penyanyi, Phakin Khamwilaisak dalam barisan pemain simpanan.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan ini pada separuh masa pertama. Tonggak pertahanan import JDT, Mauricio Dos Santos terpaksa dikeluarkan dan ditukar dengan Adam Nor Azlin kerana mengalami kecederaan peha.

Seorang lagi pemain import, Leandro Velazquez turut mengalami kecederaan namun tetap beraksi walaupun terdapat pendarahan di bahagian kepalanya akibat berlaga dengan pemain Ratchaburi.

E5s6aHtUYAY4noS
FOTO: JST

Pada separuh masa kedua, JDT bermula lebih garang dan memperolehi beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol pertama namun percubaan Bergson Da Silva dinafikan oleh penjaga gol Ratchaburi.

Melihat pada ketumpulan bahagian serangan, pengendali JDT, Benjamin Mora melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid pada minit ke 65 bagi menggantikan tempat Arif Aiman serta Ramadhan Saifullah.

Bagaimanapun, percaturan tersebut tidak membuahkan hasil apabila gerakan dua pemain itu berjaya disekat oleh benteng pertahanan Ratchaburi sehingga memberi kesukaran kepada JDT untuk mencari gol pertama.

Malah, penjaga gol lawan turut beraksi cemerlang menangkap kemas rembatan Akhyar Rashid dalam kawasan kotak penalti pada minit akhir perlawanan.

Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memastikan JDT berada di kedudukan ketiga dalam kumpulan G dengan 4 mata selepas mengharungi 6 perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan JDT melalui pautan dibawah. 

Tewaskan JDT, Nagoya Grampus Sah Juara Kumpulan G

ACL 2021: Pohang Steelers Terus Bikin JDT Terluka

Hong Wan: JDT Adalah Kelab Terbesar Dan Terbaik

JDT Nafi Tuduhan Mereka Punca Penurunan Prestasi Safawi Rasid