Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut selepas menewaskan Negeri Sembilan 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim hari ini.

Berbekalkan 46 mata dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 18 perlawanan, Harimau Selatan mengesahkan kejuaraan Liga Super lebih awal apabila turut dibantu oleh kekalahan pencabar terdekat, Sabah yang tewas 2-0 kepada Terengganu.

Ini adalah trofi ketiga yang dimenangi oleh skuad utama JDT selepas mereka sudahpun memenangi Piala Sumbangsih ketika pembukaan Liga Super dan Piala FA pada bulan lalu.

Malah, pasukan pembangunan, JDT II turut melengkapkan satu lagi trofi dengan memenangi Liga Premier selepas menewaskan Selangor II semalam sekaligus sapu bersih semua piala utama yang ditawarkan dalam saingan Liga Malaysia musim 2022.

Skuad kendalian Hector Bidoglio juga berpeluang lakar kejuaraan treble pada musim 2022 dengan memenangi Piala Malaysia yang akan dipertandingkan selepas ini.

Secara keseluruhan, JDT telah memenagi 11 trofi pada tahun 2022 termasuk Piala Presiden oleh skuad JDT III, serta beberapa kejuaraan yang dimenangi oleh pasukan akademi mereka seperti MSSM(JDT U17 dan JDT U12), Milo Challenger Cup & Laliga Youth Tournament (JDT U14), Yakult-Aidil Zafuan Cup & JSSL International (JDT U13).

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dalam satu kenyataan rasmi kelmarin menyifatkan 2022 merupakan tahun yang luar biasa bagi kelab itu dengan pelbagai kejayaan dari pasukan senior hingga ke pasukan junior.

“Kita telah pun memenangi sembilan trofi setakat ini dalam tahun 2022, dengan Akademi JDT menyumbang tujuh darinya — termasuk JDT III memenangi Piala Presiden (B21) buat pertama kalinya. JDT II pula boleh dinobatkan sebagai juara Liga Premier Jumaat ini.

“Pasukan senior yang berjaya mencipta sejarah layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC pula kini dalam landasan mencipta rekod memenangi Liga Super buat kali kesembilan, sesuatu yang saya percaya sukar untuk ditandingi. ‘A triple hattrick!”. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku,” katanya.