Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan khabar angin yang mengatakan mereka mahu mendapatkan khidmat Gonzalo Cabrera untuk dijadikan sebagai pemain naturalisasi.

Perkara ini dijelaskan oleh Pengarah Teknikal kelab, Alistair Edwards menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana beliau memberi sebab utama mengapa pihaknya tidak berminat untuk mendapatkan kembali khidmat Cabrera.

“Saya ingin menjelaskan mengenai khabar angin yang mengatakan JDT akan mendapatkan Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi.

“Kelab telah membuat keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera kerana peraturan Malaysian Football League (MFL) yang menetapkan bahawa pemain bukan warisan harus beraksi selama lima tahun bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia sekaligus membolehkan pemain itu didaftarkan sebagai pemain tempatan kecuali pemain itu berada dalam program pemain naturalisasi dibawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Oleh itu, JDT tidak akan mendapatkan khidmat Cabrera kerana beliau akan berusia 38 tahun pada lima tahun akan datang,” kata Edwards.

Sebelum ini, peminat juga menolak sekiranya pemain kelahiran Argentina itu dijadikan pemain naturalisasi sekaligus mengikut jejak langkah Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula.

Gonzalo Cabrera
Sumber Gambar: FAM

Antara sebab mengapa mereka menolak ialah faktor umur Gonzalo Cabrera yang sudah mencecah 33 tahun. Peminat tidak mahu episod hitam kembali melanda negara apabila mengambil pemain yang sudah berusia 30 tahun ke atas seperti De Paula dan Liridom namun gagal untuk mencipta sebarang impak.

Sebab lain adalah pasukan negara kini mempunyai pemain sayap berkualiti seperti pemain yang sedang meningkat naik iaitu Arif Aiman dan beberapa pemain lain seperti Safawi Rasid, Faisal Halim, Akhyar Rashid dan pemain yang baru sahaja pulih daripada kecederaan iaitu Ramadhan Saifullah.

Tidak dinafikan pemain naturalisasi sedia ada masih lagi gagal untuk mencipta impak positif bagi pasukan negara dalam beberapa kejohanan serta perlawanan persahabatan antarabangsa yang dihadapi setakat ini.

Pasukan negara akan turun dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan pada 8 Jun disusuli perlawanan menentang Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh pada 14 Jun.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Amaran Presiden FAM Kepada Pemain: “Jangan Lena Dibuai Dengan Sanjungan Dan Pujian”

Khalid Ali Bimbang De Paula Tak Tahu Fungsinya Sebagai Penyerang Utama

Liridon Krasniqi Sedih Digugurkan Daripada Skuad Akhir Harimau Malaya