Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini menafikan dakwaan beberapa portal media mengenai tawaran yang dibuat kepada pemain Terengganu FC II, Muslihuddin Atiq Mat Zaid.

Menurut kenyataan daripada Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, mereka tidak pernah berhasrat untuk menandatangani pemain muda tersebut dan kini dalam perbincangan dengan pemain lain.

“JDT sedang dalam perbincangan dengan beberapa pemain luar negara dan berkemungkinan akan menandatangani seorang pemain tempatan, tetapi pemain tersebut bukanlah Atiq.

“Kami terkejut dengan berita tentang tawaran yang sudah dilakukan kepada Atiq. Kami juga tertanya-tanya dari mana Atiq mendapat tawaran tersebut kerana tiada walau seorang pun staf teknikal termasuk saya selaku Pengarah Teknikal atau Martin Prest, Pengarah Sukan telah membuat tawaran kepada pemain tersebut,” katanya.

Muslihuddin mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan selepas menunjukkan prestasi cemerlang dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) baru-baru ini.

Beliau dianggap sebagai aset penting bagi bola sepak Terengganu kerana pemain itu sememangnya mempunyai bakat besar. Pemain lincah itu seorang yang versatil, mampu beraksi di kedua-dua sayap kiri dan kanan.

Dalam kejohanan Sukma baru-baru ini, beliau berjaya menjaringkan tiga gol sehingga membantu pasukan itu muncul juara.

Muslihuddin juga mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19) dan bawah 23 tahun (B-23) dan mendedahkan beliau pernah menerima tawaran daripada Harimau Selatan sebanyak 2 kali sebelum ini.

“Ketika berusia 18 tahun, saya pernah mendapat tawaran daripada pasukan itu (JDT), tapi saya menolaknya secara baik kerana belum bersedia, begitu juga setahun kemudian saya mendapat tawaran daripada JDT, tapi juga belum bersedia ketika itu.

“Jadi jika benar tawaran itu hadir lagi, saya akan fikir sedalam-dalamnya, tapi setakat ini saya belum mahu membuat keputusan muktamad lagi berhubung perkara itu,” katanya dalam Berita Harian.