Baru-baru ini media tempatan mendedahkan sekurang-kurangnya lima pemain Malaysia yang beraksi bersama skuad B-23 Tahun kebangsaan diminati oleh beberapa pasukan dari Eropah.

3 daripada 5 pemain tersebut adalah daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syamer Kutty Alba. Manakala baki dua pemain yang lain ialah Syahmi Safari (Selangor) dan Irfan Zakaria (Kedah).

Bagaimanapun, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan di laman facebook Johor Southern Tigers menafikan dakwaan daripada ejen tempatan bahawa beberapa kelab eropah cuba mendapatkan khidmat pemain Harimau Selatan.

“Jika ada kelab-kelab luar negara yang berminat dengan mana-mana pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), orang pertama yang akan tahu mengenainya adalah saya sebagai Pengarah Teknikal atau Martin Prest selaku Pengarah Sukan.

“Mereka akan menghubungi JDT. Jikalau tiada sebarang komunikasi tetapi terdapat mana-mana ejen tempatan yang mendakwa ada minat dari luar negara, ia adalah hanya dua perkara.

“Sama ada cerita tersebut adalah cerita dongeng ataupun ejen tersebut hendak membuat duit. Sekiranya perkara itu adalah benar, kelab tersebut ataupun ejen luar negara yang dilantik oleh mereka akan menghubungi kami sendiri,” kata Alistair.

JDT sebelum ini pernah menjual bekas pemain import mereka, Martin Lucero kepada sebuah kelab dari Mexico. Lucero dijual pada harga US$2.5 juta (RM11.206 juta) berbanding US$1.5 juta (RM6.723 juta) ketika mendapatkan pemain itu.

“Kami mempunyai pengalaman dalam ‘the business of football’ dimana kami adalah satu-satunya kelab dalam negara yang menjual pemain. Contohnya kami telah menjual Juan Martin Lucero sebanyak USD2.5 juta,” tambahnya.

Untuk rekod, ketika ini Malaysia mempunyai tiga pemain yang beraksi di luar negara antaranya Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama), Norshahrul Idlan Tahala (BG Pathum United) dan Dominic Tan (Police Tero). Tak lama lagi, penyerang skuad B-18 Tahun negara, Luqman Hakim akan mengikut jejak langkah ketiga-tiga pemain.

Baca artikel lain mengenai pemain Malaysia di sini:

Kelab Liga Perdana Inggeris Berminat Dapatkan Khidmat Luqman Hakim

Pemain Muda Malaysia Beraksi Bersama Red Star Belgrade

Dominic Tan Dan Norshahrul Setuju Gaji Dipotong Oleh Pihak Kelab