Pengurus dan Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tidak menolak kemungkinan pasukannya akan mengadakan kem latihan pra musim di eropah pada tahun depan.

Menurut kenyataannya di laman facebook Johor Southern Tigers, beliau akan berbincang dengan pemilik kelab, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mengenai persediaan pasukan untuk membentuk skuad yang lebih mantap.

“Saya telah berbincang dengan ‘Boss’ (DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor) dan berkemungkinan kami akan mengadakan kempen pramusim di Eropah pula pada tahun hadapan,” katanya.

Juara bertahan Liga Super itu baru sahaja menamatkan siri jelajah pra musim di Dubai dengan kekalahan apabila tewas 3-0 kepada juara Liga Premier Rusia, FC Zenit Saint Petersburg di Stadium Maktoum Bin Rashid Al Maktoum semalam.

Menurut Solari, ia adalah perlawanan berkualiti yang sangat diperlukan oleh pasukannya dan pada masa yang sama membantu mereka memperbaiki segala kelemahan.

“Ini adalah perlawanan yang kami sememangnya perlukan untuk memastikan kami ‘humble’ dan tidak mengambil apa-apa dengan mudah sebelum bermulanya musim 2023.

“Dengan menentang lawan yang mempunyai standard yang lebih tinggi, dalam situasi ini berdepan juara Russia yang bermain di Liga Juara-Juara UEFA akan membantu kami untuk belajar dan bertambah baik. Ini adalah satu-satunya cara untuk kami menjadi lebih mantap dan lebih kuat,” jelasnya.

Secara keseluruhan, JDT menamatkan kem latihan pra musim di Dubai dengan 3 kemenangan dan 2 kekalahan sekaligus mencapai objektif mereka untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain.

Skuad Harimau Selatan kini dalam perjalanan pulang ke tanah air membuat persiapan terakhir sebelum memulakan kempen Liga Malaysia 2023 bertemu dengan naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC untuk aksi Piala Sumbangsih yang akan dikira sebagai aksi pertama Liga Super buat kedua-dua pasukan.

Perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 24 Februari 2023.