Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam mengumumkan beberapa perubahan yang akan dilakukan selepas mendapat titah daripada pemilik kelab, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) demi kemajuan pasukan itu.

Salah satu perkara yang diumumkan oleh kelab itu ialah pelantikan bekas anggota tentera sebagai Ketua Keselamatan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) susulan isu yang melibatkan marshal JDT baru-baru ini.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melantik seorang bekas anggota tentera sebagai Ketua Keselamatan Stadium untuk menyelia kesemua perkara berkaitan keselamatan, termasuk mengurus dan melatih para marshal,” Kata Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.

Minggu lepas, terdapat insiden yang tidak diingini membabitkan YouTuber dari Indonesia yang melawat Stadium Sultan Ibrahim (SSI) ketika aksi TM Piala Malaysia 2022 melibatkan Harimau Selatan menentang PJ City.

Difahamkan youtuber yang kenali sebagaiĀ Endhy TK mempunyai masalah dengan seorang Marshall di stadium tersebut apabila dilayan dengan buruk sehingga mematahkan semangatnya untuk menyaksikan perlawanan itu.

Walaupun perkara itu sudah diselesaikan antara pihak terbabit, JDT bagaimanapun kesal dengan kejadian tersebut dan telah mengambil tindakan tatatertib ke atas marshal terbabit sejurus melakukan siasatan dalaman.

Satu lagi kejadian yang mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan ialah isu larangan bawa masuk bendera Malaysia ke Stadium Sultan Ibrahim ketika perlawanan liga domestik.

Isu tersebut menjadi tular di media sosial apabila salah seorang penyokong Harimau Selatan mendakwa telah ditegur oleh Marshall yang bertugas kerana mengibarkan bendera Malaysia ketika nyanyian lagu Negaraku sebelum sepak mula perlawanan.

Bagaimanapun, pihak JDT ketika dihubungi menafikan perkara tersebut dan menjelaskan kenyataan daripada Marshall JDT itu tidak tepat dan tiada arahan yang dikeluarkan untuk melarang penyokong membawa masuk Jalur Gemilang sewaktu perlawanan berlangsung.

Isu itu lebih kepada salah faham dan masalah komunikasi individu yang bertugas. Kenyataan daripada laman facebook Marshall JDT juga tidak mewakili pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan bukan medium komunikasi rasmi kelab tersebut.

Buktinya terdapat penyokong mengibarkan bendera Malaysia ketika perlawanan diantara JDT bertemu Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Ogos lalu.