Semalam, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengeluarkan jadual terbaharu perlawanan AFC Champions League (AFC) yang ditangguhkan sejak bulan Mac lalu susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

Berdasarkan jadual tersebut, wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan meneruskan aksi kumpulan G pada bulan oktober di venue berpusat yang akan diumumkan kemudian.

Skuad Harimau Selatan dijadualkan menentang kelab China, Guangzhou Evergrande 17 Oktober dan kemudian menentang wakil Korea Selatan, Suwong Samsung Bluewings pada 23 Oktober 2020.

Pada 29 Oktober, mereka akan menentang wakil Jepun, Vissel Kobe sebelum melengkapkan perlawanan pusingan awal berhadapan Guangzhou Evergrande pada 1 November.

Selepas mengharungi 2 perlawanan sebelum ini, JDT kini berada di tangga kedua Kumpulan G selepas mengutip tiga mata ke atas Suwon Bluewings dan ketinggalan tiga mata di belakang Vissel Kobe yang masih belum tewas setakat ini.

AFC juga mengesahkan lima lagi pertandingan lain akan diteruskan selepas mengadakan perbincangan bersama ahli gabungannya.

Kejohanan Bola Sepak AFC B-19 di Uzbekistan akan berlangsung dari 14 hingga 31 Oktober Kejohanan Futsal AFC di Turkmenistan (4 hingga 15 November) Kejohanan AFC B-16 di Bahrain (25 November hingga 12 Disember) sementara Kejohanan Kelab Futsal AFC 2020 di Emiriah Arab Bersatu dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 13 Disember.

“Sepanjang perbincangan yang bermula di Kuala Lumpur, Doha, Dubai dan Delhi dalam Februari dan Mac, dan bersambung secara dalam talian sejak itu, kami bersetuju dengan kalendar perlawanan yang akan membolehkan kami melengkapkan kedua-duanya, kejohanan kelab dan kejohanan terpusat dalam 2020,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.

Perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 turut berlangsung pada bulan Oktober dan November tahun ini.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Hwang Hee-chan Sah Sertai RB Leipzig, Bakal Sarung Jersi Nombor 11

Pengurus Yangon United Berasal Dari Malaysia Kongsikan Bagaimana Kelab Itu Jana RM150,000 Sebulan Dari Aset Pasukan.

Chanathip Sasar Beraksi Di Eropah, Mahu Buka “Jalan” Untuk Pemain Muda Thailand