Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pantas memberikan reaksi terhadap soalan yang ditanyakan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor semalam dengan mengeluarkan baju keluaran khas digelar ‘Lanun Bola’.

Menurut informasi di laman Facebook rasmi pasukan, JOHOR Southern Tigers, penyokong yang berminat untuk mendapatkan baju dengan tiga pilihan (termasuk satu dengan rekaan ‘Tangan Ghaib’) itu boleh membuat pra-tempahan di JDT Store dengan harga RM39.90.

Idea untuk mengeluarkan rekaan baju tersebut sudah pastinya hadir selepas Muhammad Sanusi memberikan soalan panas kepada wartawan dengan bertanyakan apakah perasaan DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) sekiranya digelar sedemikian.

Pertanyaan itu bagi menjawab dakwaan TMJ yang sebelum ini mengatakan Muhammad Sanusi sebagai pemecah belah bola sepak antara penyokong Kedah dan JDT.

“Kalau orang kata dia lanun bola sepak, apa dia rasa? Dia kata saya badut, ‘clown’, pemecah bola sepak. Kalau saya nak kata anda lanun bola sepak, dia nak jawab apa. Soalan, apa perasan ‘u’ kalau ‘i’ kata ‘u’ lanun bola sepak? ”

“Saya menyatukan peminat bola sepak. Dalam satu kesatuan bola sepak untuk orang ramai. Padang yang sama luas, pemain yang sama banyak, pintu gol yang sama saiz, pemain yang sama ramai.”

Nampaknya dari sehari ke sehari kita akan terus dapat melihat provokasi daripada kedua-belah pihak yang seperti semakin sukar untuk dihentikan.