Kekalahan pencabar terdekat, Kedah 1-2 kepada Pahang pada Sabtu lepas meletakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya memerlukan satu sahaja lagi mata daripada baki dua perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan CIMB Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2014.

Biarpun JDT sekadar meraih keputusan seri 2-2 bertemu PJ City FC pada Jumaat lepas, namun berbekalkan pungutan 23 mata, skuad Harimau Selatan ini berada dalam kedudukan yang cukup selesa dengan enam mata berkelebihan ke atas Perak selain mempunyai margin perbezaan gol yang besar iaitu 17 berbanding 3.

Justeru, sebarang mata bertemu Sabah di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat sudah mencukupi buat JDT terus menutup ruang kepada Perak untuk memintas kedudukan mereka.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, akur dengan keputusan seri ketika menentang PJ City yang bermakna mereka perlu fokus mencari tiga mata di laman sendiri menentang Sabah pada 2 Oktober sebagai pengakhiran manis kepada skuad Harimau Selatan.

“PJ City nyata mampu memberikan cabaran, dan kami berdepan sedikit masalah pada situasi bertahan apabila lawan melakukan serangan balas dan pada separuh masa kedua, barulah kami mendapat rentak serta bermain lebih tersusun.

“Sebagai jurulatih, saya memang ingin menang semua perlawanan, tidak kira di mana sahaja tetapi realitinya kami tidak boleh menang selalu dan mungkin perkara yang positifnya, kami boleh mengesahkan kejuaraan di tempat sendiri.

“Saya sama sekali tidak akan memandang rendah keupayaan Sabah nanti walaupun mereka berdepan prestasi yang kurang menjadi pada musim ini tetapi semangat beraksi di Stadium Sultan Ibrahin diharap mampu membantu kami mendapat 3 mata berharga untuk menjulang trofi di hadapan bos kami (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) selain kepada semua peminat JDT,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Shahrel Fikri Kini Penjaring Terbanyak CIMB Liga Super 2020

Pusat Latihan Berbumbung Milik The Red Warriors Bakal Dibina Dengan Bajet RM10 Juta

Tewaskan Kedah, Dollah Kagum Dengan Semangat Pemain Muda Pahang