Juara Liga Super 7 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan apabila mendominasi lima daripada 12 kategori yang dipertandingkan pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual malam tadi.

Keunikan ABK20 Virtual pada kali ini menyaksikan penyokong turut diberikan peranan dalam pemilihan pemenang. Seramai 344 pemain layak untuk diundi dalam kategori masing-masing dan pengundian penyokong dikira bersama dengan pengundian juri profesional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan wakil media.

Berbanding ABK edisi sebelum ini, konsep undian penyokong diambil kira memandangkan perlawanan musim ini terpaksa disingkatkan akibat pandemik COVID-19 dengan saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier berlangsung separuh pusingan, manakala Piala FA dan TM Piala Malaysia dibatalkan.

Jawatankuasa Saringan telah menyenarai pendek 10 pemain terbaik bagi setiap kategori iaitu Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik dan Jurulatih Terbaik.

Penyerang skuad kebangsaan, Shahrel Fikri mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai penjaring terbanyak tempatan dalam saingan Liga Super 2020 dan turut merangkul anugerah penyerang terbaik.

Lebih mengejutkan, Malaysia Football League (MFL) turut mengumumkan penyokong Liga Malaysia sebagai pemenang Pemain Paling Bernilai (MVP) untuk Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual.

EqfPaKpVQAQWFDa

Berbanding tradisi sebelum ini yang menyaksikan pemain terbaik tempatan dipilih menjadi pemenang bagi anugerah MVP, barisan juri bersama Malaysian Football League (MFL) menganggap kemenangan ini diberikan kepada peminat sebagai tanda signifikasi sokongan teguh mereka terhadap bola sepak tempatan selama ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Dato’ Ab Ghani Hassan, penyokong-penyokong tetap terus setia memberikan sokongan padu kepada kelab masing-masing biarpun berdepan detik sukar dalam pandemik COVID-19.

Jelas Dato’ Ab Ghani, MFL menghargai setiap pandangan dan kata-kata semangat daripada penyokong yang masih mengikuti rapat perkembangan Liga Malaysia biarpun tidak dibenarkan masuk ke stadium disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020.

Senarai Pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 20:

1. Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Premier 2020): Danial Asri – Selangor
2. Penjaring Terbanyak (Liga Premier 2020): Casagrande – Pulau Pinang
3. Penjaring Terbanyak Tempatan (CIMB Liga Super 2020): Shahrel Fikri – Perak
4. Penjaring Terbanyak (CIMB Liga Super 2020): Ifedayo Olusegun – Selangor
5. Kasut Emas 2020: Ifedayo Olusegun –  Selangor
6. Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias – JDT
7. Pertahanan Terbaik: Aidil Zafuan – JDT
8. Pemain Tengah Terbaik: Safawi Rasid – JDT
9. Penyerang Terbaik: Shahrel Fikri – Perak
10. Jurulatih Terbaik 2020: Benjamin Mora – JDT
11. Pasukan Terbaik 2020: Johor Darul Ta’zim (JDT)
12. Anugerah Khas (MVP): Penyokong Liga Malaysia