Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) diletakkan dalam kedudukan 15 kelab terbaik Asia selepas mengambil nilai prestasi yang ditampilkan oleh kelab itu pada tahun 2022.

Senarai ini dikeluarkan oleh Persekutuan Sejarah dan Statistik Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS) dimana skuad Harimau Selatan itu menduduki tempat ke-250 daripada 500 pasukan terbaik bagi kategori kelab bola sepak lelaki dunia tahun 2022.

Kejayaan memenangi empat trofi dalam saingan Liga Malaysia serta layak ke pusingan kalah mati dalam saingan AFC Champions League (ACL) musim lalu menjadi penyumbang kepada kejayaan JDT kali ini.

Kelab Korea, Jeonbuk Hyundai Motors berada di tangga pertama dengan mengutip 165 mata diikuti oleh satu lagi kelab Korea iaitu Ulsan Hyundai di tangga kedua. Tangga ketiga diisi oleh kelab Arab Saudi, Al-Hilal dengan kutipan 112 mata.

Bagi skuad bimbingan Esteban Solari pula, mereka mengatasi beberapa kelab ternama lain di rantau Asia seperti Vissel Kobe (16), FC Seoul (17), Sepahan (20) dan Al Sadd (29).

Selain berada di tangga ke-15 Asia, JDT turut merangkul satu lagi anugerah menerusi penyerang mereka iaitu Bergson Da Silva dimana beliau diangkat sebagai penyerang dari benua Amerika Selatan yang menjaringkan gol terbanyak dengan jumlah 46 jaringan.

Bergson mengatasi pemain bintang dunia dari benua tersebut seperti Lionel Messi, Neymar, Julian Alvarez dan Darwin Nunez. Selain itu, Liga Korea diangkat sebagai liga terbaik di Asia diikuti dengan Jepun, Arab Saudi, Uzbekistan dan Iran.