Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Sukan Persatuan/Kelab dalam Anugerah Ikon Sukan Harian Metro yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia sebentar tadi.

Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu menerima undian tertinggi bagi menewaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Sementara itu Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin pula menerima Anugerah Ikon Sukan Kepimpinan selepas menewaskan Ahmad Faedzal Md Ramli (Ketua Pengarah Institut Sukan Negara), Datuk Nur Azmi Ahmad (Chief de Mission Sukan SEA 2021), Datuk Abu Samah Abd Wahab (PKBM) dan Stuart Ramalingam (Ketua Pegawai Eksekutif MFL).

Anugerah Ikon Sukan Berita Harian yang julung kali diadakan itu mempertandingkan lapan kategori utama di mana pemenang keseluruhan akan dinobatkan dengan trofi anugerah Ikon Sukan Terbaik.

Kredit Foto: TV9 Di Hatiku

Penganjur turut memberikan satu anugerah khas iaitu Anugerah Ikon Sukan Legenda sebagai menghargai jasa bekas atlet yang telah berbakti dan mengharumkan nama negara.

Pemilihan pemenang bagi setiap kategori utama adalah berdasarkan penilaian daripada juri profesional dan undian yang dilakkan oleh pembaca melalui akhbar Harian Metro dan atas talian (online).

Pemenang utama Anugerah Ikon Sukan Terbaik membawa pulang trofi, langganan akhbar digital Harian Metro selama setahun dan kereta elektrik Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000. Manakala, pemenang bagi lapan kategori utama serta Anugerah Ikon Sukan Legenda pula menerima sebuah trofi, wang tunai RM5,000 dan langganan akhbar digital Harian Metro selama tahun.

Peminat yang mengundi juga tidak dilupakan apabila pengundi paling kreatif menerima kereta elektrik jenama Apollen A2 (coupe 2 pintu) bernilai RM112,000 dan langganan akhbar digital Harian Metro selama setahun.