Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus konsisten mencatat kemenangan apabila membelasah Sarawak United, 6-0 di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Skuad Harimau Selatan itu tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan apabila mendapat gol pembukaan seawal minit ke 15 menerusi Fernando Forestieri yang merembat masuk bola meleret sehingga menewaskan penjaga gol Sarawak, Sharbinee Allawie.

Pada minit ke 39, JDT sekali lagi menambah derita Sarawak melalui Bergson Da Silva yang merembat masuk bola hantaran cantik daripada Arif Aiman dari sebelah kanan. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Sarawak United terpaksa beraksi dengan 10 orang apabila pemain pertahanan, Raja Imran Shah diperintah keluar padang selepas mengasari pemain gantian, Safawi Rasid.

Kekurangan pemain pada pasukan pelawat membuka ruang kepada JDT untuk memulakan ‘pesta gol’ dan mereka berjaya menambah gol ketiga melalui Bergson yang menyudahkan tendangan percuma leret pada minit ke 63.

9 minit kemudian, pintu gol Sarawak terus bocor dan kali ini menerusi tandukan Carli De Murga hasil sepakan sudut Arif Aiman diikuti jaringan Safawi yang menolak masuk gol kelima JDT pada minit ke 80.

Selepas itu, Forestieri menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke 84 sekaligus memastikan 3 mata penuh menjadi milik JDT dan mereka juga merupakan pasukan pertama dalam saingan Liga Super musim ini yang mencatat kemenangan besar selepas 2 perlawanan.

Keputusan 6-0 itu turut meletakkan JDT kekal di tangga teratas Liga Super dengan 6 mata bersama pasukan Kedah Darul Aman (KDA) dan bakal berdepan KL City pada bulan April depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Terengganu Bantah Waktu Sepak Mula 8.15 Malam, Mahu MFL Tukar Kepada 9.00 Malam

Hanya Penyokong Lengkap Suntikan Dos Penggalak Sahaja Dibenarkan Masuk Ke Stadium

Penyertaan Perak FC Dalam Liga Malaysia Tidak Terjejas Walaupun PAFA Digantung