Juara Liga Super 6 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menerima permintaan daripada Persatuan Bola Sepak Nepal (ANFA) untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan Nepal di Stadium Larkin paa 26 Ogos ini.

Menurut kenyataan di laman facebook JOHOR Southern Tiger, pasukan Nepal akan berlatih di Johor sebagai persiapan untuk perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 bulan depan, di mana Nepal akan menentang Australia, Jordan, Chinese Taipei dan Kuwait.

Difahamkan skuad Harimau Selatan bakal dibarisi oleh gabungan pemain daripada skuad senior dan JDT II kerana sebahagian pemain utama daripada pasukan itu kemungkinan dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya untuk persiapan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ketua jurulatih Nepal, Johan Kalin menyifatkan perlawanan menentang JDT memberi peluang kepadanya untuk menilai prestasi pemain sebelum mereka menentang Kuwait pada 5 September ini.

“Kami gembira JDT telah menerima permintaan kami untuk mengadakan perlawanan pemanas badan. Kami tidak sabar untuk menentang mereka,” katanya dalam laman web rasmi ANFA.

Sebelum ini, Malaysia pernah mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Nepal pada bulan Jun lepas di Stadium Nasional Bukit Jalil dimana keputusan perlawanan memihak kepada skuad negara, 2-0.

1559532897
Pemain JDT, Safawi Rasid menjaringkan satu gol ketika menentang Nepal.

Dua gol masing-masing dijaringkan penyerang JDT, Muhammad Safawi Rasid dan Shahrul Mohd Saad dalam separuh masa kedua melengkapkan kemenangan Harimau Malaya dengan pasukan di ranking 161 dunia ketika itu selepas kemenangan 2-1 ke atas Afghanistan (ranking ke-149) dalam perlawanan “play-off” menentukan tempat ketiga dan keempat Piala Airmarine, Mac lepas.

Malaysia dijadualkan bertemu Jordan dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa pada 30 Ogos ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum mereka terbang ke Jakarta untuk menghadapi Indonesia dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 5 September depan.