Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam mendedahkan kelab tersebut bakal menerima pelaburan bernilai 8 juta Euro (RM37 juta) untuk tempoh 3 tahun.

Ia adalah pelaburan daripada syarikat luar negara sekaligus membuktikan juara bertahan Liga Super itu kini semakin dikenali di seluruh dunia dan terus mengekalkan status sebagai kelab bola sepak terbaik di Malaysia.

“Ini adalah syarikat dari luar negara, mereka ingin melabur untuk tempoh tiga tahun dalam JDT. Namun, perkara ini kami tidak boleh dedahkan lagi.

“Ini menunjukkan satu pengiktirafan yang tinggi, kami sudah berkolaborasi dengan UNICEF, Nike. Nike akan sambung kontrak mereka, banyak penaja buat penilaian rapi dan percaya kepada potensi kami sebagai kelab,” kata Tunku Ismail dalam sesi bersama peminat semalam.

Difahamkan syarikat sukan terkemuka dunia, Nike turut menjemput JDT ke ibu pejabat di Amerika Syarikat untuk menandatangani kontrak lanjutan sehingga 2027.

Selain UNICEF dan Nike, antara jenama antarabangsa lain yang turut bekerjasama dengan JDT ketika ini termasuk HUBLOT, SWAG Electric Vehicle dan Subway.

Sementara itu, Tunku Ismail turut bertitah akan terus mengendalikan pasukan bola sepak JDT seperti yang dititahkan olah ayahanda, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selepas dilantik sebagai Pemangku Raja Johor minggu lalu.

“Sepuluh tahun saya ingat nak berehatlah sikit tetapi saya menjunjung titah Tuanku. Tuanku nak suruh saya jadi KSM (Kerja Sampai Mati), bermakna sampai bila-bilalah saya akan ada dalam JDT.

“Tuanku bertitah kepada saya, JDT adalah awak, awak adalah JDT, awak tak boleh tinggalkan JDT. Awak yang melahirkan JDT macam mana atuk moyang kita melahirkan Johor, begitu juga awak dengan JDT. Jadi, saya terpaksa menjaga Johor dan terpaksa menjaga JDT selama-lamanya,” kata Tunku Ismail.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Bergson Tidak Berminat Fikir Tentang Pemain Pasukan Lain

Sergio Aguero Dan Lee Tuck Tidak Dapat Didaftarkan Sebagai Pemain Tempatan

Nafuzi Zain: Aksi ‘Santai’ Babak Pertama Hukum Terengganu