Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mengumumkan mereka akan mengatur perlawanan persahabatan kelab antarabangsa menentang Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 November.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai perlawanan tersebut akan menyusul kemudian.

Ini bukan kali pertama JDT bertemu kelab dari Bundesliga itu kerana sebelum ini mereka pernah berentap di Stadium Larkin pada tahun 2015. Ketika itu, JDT yang dibimbing oleh Mario Gomez dibelasah 6-1 dan gol sagu hati Harimau Selatan dijaringkan oleh Garry Steven Robbat.

Perlawanan ini merupakan aksi persahabatan kedua bagi Borussia Dortmund dalam siri Jelajah Asia 2015, selepas menewaskan kelab Liga Jepun, Kawasaki Frontale 6-0, di Stadium Todoroki, Tokyo.

Borussia Dortmund dalam kunjungan ke Asia Tenggara dan mereka turut dijadualkan menentang skuad kebangsaan Vietnam dalam perlawanan persahabatan pada 30 November.

Perlawanan itu juga akan jadi medan untuk ketua jurulatih, Park Hang-seo menerapkan taktikal baharu sebagai persiapan menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric yang bakal berlangsung pada hujung tahun ini.

Dortmund merupakan juara Bundesliga sebanyak 8 kali dan beberapa bintang pasukan itu mungkin tidak ikut serta kerana terlibat dalam Piala Dunia 2022 di Qatar.

Selain aksi persahabatan, mereka juga terlibat dalam aktiviti bertemu peminat setia pasukan itu.