Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini hanya memerlukan satu sahaja lagi mata daripada baki dua perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan CIMB Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2014.

Perlawanan menentang Sabah esok dianggap sebagai perlawanan yang penting untuk dinobatkan sebagai juara musim ini sekaligus mengesahkan tiket ke AFC Champions League 2021.

Penularan wabak pandemik COVID-19 di seluruh dunia memaksa JDT mengambil pendekatan yang berbeza untuk meraikan kejayaan bersama para penyokong setia.

Justeru itu, JDT mengajak para penyokong mereka hadir ke acara ‘Live viewing party’ sekitar perkarangan Stadium Sultan Ibrahim untuk menonton perlawanan di skrin gergasi dari dalam kereta secara penjarakan sosial.

Lebih menarik, para penyokong JDT juga berpeluang menyaksikan gimik selepas perlawanan termasuk ‘extended reality’ dan pertunjukan bunga api.

Bagaimanapun, hanya penyokong yang memiliki pas kereta yang sah sahaja dibenarkan hadir ke acara tersebut.

Sebanyak 1,500 pas kereta disediakan secara percuma dengan konsep ‘Siapa Cepat, Dia Dapat’ di Gate B Stadium Sultan Ibrahim sejak semalam. Manakala 650 pas kereta telah diperuntukkan untuk pemegang Pas Bermusim JDT dan ahli Yayasan JDT.

Namun begitu, terdapat beberapa peraturan yang wajib diikuti oleh para penyokong sepanjang perlawanan berlangsung.  Antara peraturan tersebut ialah para penyokong mesti berada dalam kereta sepanjang masa dan memakai pelitup muka ketika hendak menggunakan tandas.

Mereka juga digalakkan membawa bekalan makanan dan minuman sendiri kerana tiada gerai akan dibuka bagi mematuhi prosedur operasi standard COVID-19 serta tidak dibenarkan berlegar-legar di kawasan Stadium Sultan Ibrahim.

Baca artikel lain mengenai perkembangan JDT melalui pautan dibawah. 

4 Perlawanan Terkini Raih 3,648,654 Tontonan Di Platform Youtube, JDT Buktikan Miliki Daya Tarikan Unik

RTM Sports Akan Siarkan LIVE Perlawanan CIMB Liga Super JDT Bertemu Sabah Jumaat Ini

JDT Buat Kemunculan Kedua Dalam Permainan Video Pro Evolution Soccer 2021