Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini memiliki ibu pejabat baharu yang serba moden dan canggih. Bangunan tersebut terletak bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri dan dirasmikan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja dan juga pemilik JDT pada hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Besar Johor YAB Dato’ Dr Sahruddin Jamal, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Dato’ Haji Azmi Rohani, Presiden PBNJ, Dato’ Haji Ismail Karim, dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

Menurut kenyataan daripada Johor Southern Tigers, Ibu Pejabat empat tingkat yang dibina di atas tanah seluas 2200 meter persegi itu bakal menempatkan pejabat pengurusan tertinggi JDT, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan Southern Tigers Sdn Bhd.

69354718_1435615096601785_1540672230126518272_o
FOTO: JST

Aras bawah menempatkan lobi utama untuk pelawat, skrin mega-LED yang bakal menyiarkan detik-detik istimewa JDT dan bilik seminar manakala pelbagai jabatan akan ditempatkan di tingkat satu dan dua.

Pejabat DYAM Tunku Mahkota Ismail terletak di tingkat paling atas. Kesemua pejabat di Ibu Pejabat JDT ini mempunyai pemandangan yang menarik iaitu menghadap Stadium Sultan Ibrahim yang bakal siap tidak lama lagi.

Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin menyifatkan kejayaan pembinaan pejabat itu serta stadium baharu di sebelahnya bakal menyumbang kepada pembangunan bola sepak Johor dan seterusnya memberi manfaat kepada negara.

69980914_1435614726601822_5252956238089551872_n
FOTO: FAM

“Di kesempatan ini saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kelab Bolasepak Johor dan seluruh warga JDT di atas kejayaan pembinaan dan perasmian JDT HQ hari ini.

“JDT HQ dan yang bakal siap, Stadium Sultan Ibrahim iaitu dua perkara yang kini menjadi kebanggan negeri Johor terutama dalam memartabatkan lagi mutu bola sepak di peringkat tempatan atau negeri.

“Dengan adanya standard ibu pejabat empat tingkat bersebelahan stadium yang mampu memuatkan 40,000 penyokong itu secara tidak langsung mampu menaikkan lagi taraf dan kualiti pengurusan pemain negeri yang kemudiannya mampu menyumbang kepada negara,” kata Dato’ Haji Hamidin melalui laman facebook FAM.

Mungkin anda berminat untuk mengetahui apakah jenis rumput yang digunakan pada Stadium baharu JDT. Klik pautan dibawah:

Stadium Sultan Ibrahim Antara 3 Buah Stadium Dirantau Asia Tenggara Guna Rumput Zeon Zoysia

TMJ Bercita-Cita Jadikan Stadium Sultan Ibrahim Nombor Satu Di Asia Tenggara