Ketua pasukan Johor Darul Ta’zim, Hariss Harun menegaskan beliau dan rakan sepasukan akan memberikan yang terbaik pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Gyeongnam FC malam ini.

JDT masih berpeluang untuk layak ke peringkat seterusnya jika menewaskan Gyeongnam sambil mengharapkan Shandong Luneng mengalahkan juara bertahan, Kashima Antlers.

Hariss Harun
Sumber Gambar: JST

“Kami tahu kami mempunyai peluang dan kami akan berikan saingan sehingga penamat. Apa yang berlaku selepas itu, kita akan lihat, tetapi kami akan berikan yang terbaik.

“Kami telah bermain dengan baik dalam perlawanan terdahulu dan kami masih mempunyai peluang untuk mara ke pusingan seterusnya, kami sangat teruja dan tidak sabar menantikan perlawanan ini,” kata Haris ketika ditemu bual AFC.

Dalam pertembungan di Larkin pada perlawanan kedua peringkat kumpulan, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas kedudukan terikat 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Johor Darul Ta’zim
Sumber Gambar: JST

Tambah Hariss, kemenangan ke atas Kahsima nyata menyuntik semangat baru serta meningkat keyakinan para pemain.

“(Kemenangan ke atas Kashima) memberikan suntikan semangat yang tinggi dan meningkatkan keyakinan kerana kami menunjukkan kemampuan untuk bersaing.

“Keputusan itu telah meningkatkan kepercayaan dalam pasukan dan semua yang terlibat dengan kelab sangat gembira dan berbangga.”

“Tetapi semua itu telah berlalu. Sekarang kami perlu menumpukan perhatian kepada objektif kami yang seterusnya,” tambahnya.