Javier Saviola adalah satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kancah bola sepak dunia apabila bekas penyerang kelahiran Buenos Aires itu pernah menjadi tumpuan dengan menyarung jersi Barcelona dan Real Madrid.

Dikenali sebagai seorang pemain yang mempunyai kepantasan larian, kelincahan serta mampu menyempurnakan peluang di mana-mana bahagian serangan di atas padang, Saviola berjaya menghasilkan 181 gol dan membuat 536 penampilan di peringkat kelab sepanjang kariernya.

Selepas mengumumkan persaraannya pada tahun 2016 sewaktu menyarung jersi River Plate, beliau yang kini sudah berusia 39 tahun telah beralih angin bagi menyertai kelab futsal profesional di Andorra iaitu Encamp FC.

Saviola dalam usahanya untuk menjaringkan gol.

Setelah empat musim, Saviola berjaya membantu Encamp FC meraih kejuaraan liga musim lalu sekali gus membolehkan kelab tersebut beraksi di pusingan kelayakan Liga Futsal Juara-Juara Eropah (UCL) 2021/22.

Sebagai seorang yang cukup gah dalam bola sepak dan kini beraksi mengubah angin ke futsal, beliau melihat terdapat perbezaan ketara melibatkan kedua-dua sukan tersebut.

“Saya sentiasa mengatakan bahawa saya adalah pemain ruang besar [bola sepak] yang beraksi di gelanggang futsal. Terdapat banyak perkara yang saya tidak ketahui dan ketinggalan.”

“Bertahan adalah perkara yang paling sukar untuk saya lakukan. Kadang-kadang saya kehilangan fokus [ketika bertahan],” ujar Saviola menurut laporan di laman sesawang rasmi Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

“Dalam pasukan saya, kami sentiasa berusaha untuk ada seorang pemain akan berada di belakang saya untuk membantu saya. Mereka semua adalah pemain futsal.”

“Daripada aspek positif pula, saya cuba untuk melakukan tugasan saya di hadapan, iaitu menjaringkan gol untuk pasukan saya, membuka ruang dan memanfaatkan penyudah pantas yang saya miliki.”

“Ia sangat berbeza. Futsal merupakan sukan yang fizikal dan mencabar serta anda perlukan beberapa saat sahaja untuk berfikir. Anda juga akan menentang pasukan yang menentukan corak permainan.”

“Ia jelas sama sekali jauh berbeza dengan corak permainan bola sepak,” tambah Saviola lagi.

Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Piala Dunia Futsal: Iran, Jepun Mulakan Kempen Dengan Bergaya

Ketahui Peraturan-Peraturan Asas Dalam Futsal

Piala Dunia Futsal: Brazil, Portugal Beri Pengajaran Berguna Buat Dua Wakil ASEAN

Sumber