Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Skuad Harimau Malaya melakar kejutan apabila menewaskan pasukan di ranking 116 dunia, Tajikistan hasil jaringan daripada rembatan kencang Safawi Rasid, 1-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Ia adalah kemenangan moral menjelang perlawanan penting kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand pada hari khamis ini.

Dalam perlawanan itu, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menurunkan kesebelasan utama yang berbeza untuk menguji beberapa pemain simpanan yang jarang beraksi seperti Syahmi Safari, Khairul Azhan, Akhyar Rashid dan Syamer Kutty Alba.

Malah, beliau kali ini menguji gandingan kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar bersama Syamer Kutty dan Azam Azih dibahagian tengah manakala Syafiq Ahmad menerajui bahagian serangan tanpa kelibat pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh.

74667865_2490407974389285_8207790748716761088_o

FOTO: FAM

Malaysia memperolehi peluang terbaik untuk menjaringkan gol awal menerusi Syahmi Safari pada minit ke 6 namun percubaannya berjaya dihalang oleh pemain pertahanan Tajikistan.

Tersentak dengan percubaan itu, Tajikistan bangkit mengaturkan serangan dan kerap memberi ancaman berbahaya kepada benteng pertahanan negara menerusi rembatan dari luar kotak penalti. Bagaimanapun, mereka gagal menewaskan penjaga gol negara, Khairul Azhan yang beraksi cemerlang pada malam ini.

Pada separuh masa kedua, kemasukan Brendan Gan menggantikan Baddrol Bakhtiar jelas telah mengubah rentak permainan skuad Harimau Malaya dengan lebih banyak gerakan berbahaya diaturkan sehingga memaksa benteng pertahanan lawan bekerja keras.

Beberapa minit kemudian, Tajikistan terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas pengadil perlawanan melayangkan kad merah kepada Yatimov atas kesalahan menampan bola rembatan Brendan dengan tangan di luar kotak penalti.

Dalam situasi itu, Cheng Hoe membuat pertukaran dengan memasukkan Safawi Rasid dan Adam Nor Azlin bagi menggantikan tempat Syahmi dan Aidil.

Percaturan beliau akhirnya membuahkan hasil yang lumayan apabila Safawi memanfaatkan hantaran cantik daripada Brendan Gan dan melakukan gerakan gelecek  lalu melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol lawan, Qirghizboev Shohrukh.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan Malaysia berjaya memperolehi pertambahan +3.24 mata dalam kutipan mata FIFA ranking, menjadikan mata keseluruhan selepas perlawanan adalah 1,012 mata.

Malaysia yang kini berada di ranking 158 dunia bakal berentap dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia pada 14 dan 19 November 2019 menentang Thailand dan Indoensia.

Manakala skuad bimbingan Usmon Toshev itu akan bertemu Myanmar di Yangon dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022 pada 14 November 2019.

Baca juga artikel lain berkaitan perkembangan pasukan Asia dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Simon McMenemy Merajuk, Enggan Sertai Indonesia Untuk Perlawanan Menentang Malaysia

Park Hang-seo Setuju Tandatangani Kontrak Lanjutan

Thailand Umumkan Skuad 24 Pemain Terkuat Untuk Pertemuan Dengan Malaysia Dan Vietnam

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group