Gambar kredit: Selangor FC

Sekurang-kurangnya satu mata berjaya dikutip oleh pasukan Selangor apabila mereka mencatat keputusan seri 1-1 menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya hari ini.

JDT menjadikan perlawanan ini sebagai ‘pemanas badan’ sebelum hadapi Final Piala FA 2022 menentang Terengganu minggu depan namun Selangor kali ini enggan tewas lagi di halaman sendiri.

Dalam perlawanan ini, Selangor turun tanpa kelibat tonggak pertahanan, Sharul Nazeem kerana menjalani hukuman penggantungan perlawanan. Namun, JDT terlebih dahulu menguji benteng pertahanan tuan rumah sebaik sahaja pengadil meniup wisel sepak mula.

Skuad kendalian Nidzam Jamil juga memperolehi peluang terbaik untuk menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 26 namun hantaran Quentin Cheng dari sebelah kanan gagal disambut oleh penyerang import, Herlison Caion.

4 minit kemudian, pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT selepas mendapati Yazan Al Arab telah mengasari Arif Aiman sekaligus menimbulkan pelbagai perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan di media sosial.

Bergson Da Silva dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut sekaligus menjaringkan gol pertama untuk JDT. Ini juga merupakan jaringan ke 21 beliau dalam saingan Liga Super musim 2022.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh jentera serangan Selangor selepas jaringan pembukaan tersebut. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun, skuad Gergasi Merah bangkit mempamerkan corak permainan yang lebih baik di separuh masa kedua. Hasilnya mereka berjaya menghukum kelekaan benteng pertahanan JDT menerusi serangan balas lalu disudahkan oleh Caion pada minit ke 65.

Tersentak dengan jaringan penyamaan tersebut, Harimau Selatan kembali mengatur beberapa gerakan berbahaya. Fernando Forestieri nyaris menjaringkan gol kedua untuk JDT tetapi sepakan percumanya gagal menemui sasaran.

Memasuki minit ke 80 ke atas, benteng pertahanan JDT mula berada dalam tekanan apabila diasak bertubi-tubi oleh pasukan tuan rumah. Ketumpulan penyudah sering menjadi penghalang Selangor walaupun memperolehi dua peluang terbaik di minit akhir perlawanan.

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menafikan hasrat JDT untuk mengutip 3 mata penuh dalam perlawanan ini. Selepas 16 perlawanan, JDT kekal di tangga teratas Liga Super dengan 42 mata manakala Selangor berada di kedudukan ke 8 dengan 17 mata.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Penyokong Terengganu ‘Habiskan’ Semua Tiket Final Piala FA

Pemain Sarawak United Sudah 4 Bulan Tidak Terima Gaji

Final Piala FA Serentak Dengan Konsert Dewa 19, Bukit Jalil Dijangka Sesak Teruk Pada 10 September

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Dihantar Ke FIFA Untuk Pencalonan Anugerah PUSKAS

TRW Kelantan Jadikan Tuntutan Kes Fitnah Sebagai Sedekah