Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Jaringan sepakan penalti Que Ngoc Hai menghampakan skuad negara untuk mencuri satu mata apabila Vietnam berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 pada aksi ketujuh kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Al-Maktoum, sebentar tadi.

Kemenangan yang diraih menyaksikan Vietnam terus kekal memimpin tangga teratas saingan kumpulan G dengan kelebihan dua mata di hadapan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut mencatatkan kemenangan bertemu Indonesia.

Mahu segera bangkit daripada kekalahan bertemu UAE tempoh hari, skuad negara kelihatan meningkatkan prestasi pada perlawanan ini dengan lebih mengawal permainan.

Penguasaan tersebut bagaimanapun tidak langsung mengganggu rentak Vietnam untuk menjelmakan beberapa serangan menarik ke arah kubu Malaysia yang dikawal Mohd Farizal Marlias.

Peluang buat skuad kendalian Park Hang-seo itu hadir pada minit ke-14 apabila Nguyen Hoang Duc berjaya merampas bola berikutan kesilapan Syafiq Ahmad yang gagal mengawal bola di kawasan sendiri.

Namun, percubaan deras dari luar kawasan penalti yang diledakkan pemain tengah berusia 23 tahun itu mudah ditangkap kemas Farizal bagi menyelamatkan keadaan.

Berselang dua minit kemudian, Vietnam hampir menghukum kealpaan jentera pertahanan skuad negara apabila hantaran lintang cantik daripada Doan Van Hau terus mencari Nguyen Tienh Linh yang tidak dikawal di hadapan kawasan penalti, tetapi cubaan penyerang tersebut untuk menolak masuk bola ke gawang tidak berjaya.

Anak buah Tan Cheng Hoe cuba untuk bangkit sebaik sahaja ditekan dengan dua percubaan pantas tersebut, namun rembatan Syafiq Ahmad setelah menerima umpanan daripada Guilherme De Paula dari luar kawasan penalti berjaya dihalang penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong pada minit ke-19.

Keputusan perlawanan berubah pada minit ke-27 apabila Tienh Linh berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran juga menerusi tandukan daripada Doan Van Hau susulan situasi sepakan sudut bagi memisahkahkan kedua-dua pasukan.

Ketika aksi babak pertama semakin menghampiri penghujung, Malaysia terlepas dua peluang keemasan apabila tandukan Syafiq Ahmad dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran cantik daripada Matthew Davies dan sepakan percuma Safawi Rasid dinafikan dengan cemerlang Tan Truong.

Kemasukan Nazmi Faiz Mansor dan Akhyar Rashid sebelum sepak mula sepakan masa kedua dan Ariff Aiman ketika perlawanan memasuki minit ke-61 dilihat mengubah sedikit corak permainan skuad negara dengan aksi lebih tersusun dan bertenaga.

Sepakan percuma cantik daripada Nazmi terus ke dalam kawasan penalti bagi mencari De Paula tetapi pemain naturalisasi ketiga negara itu gagal menyambar bola tersebut ketika beliau hanya berhadapan dengan penjaga gol lawan.

Kehampaan De Paula itu terbalas pada minit ke-72 apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti berikutan kekasaran yang dilakukan Van Hau terhadap dirinya.

Kegembiraan skuad negara itu hanya bertahan 10 minit apabila Vietnam pula dihadiahkan sepakan penalti selepas pengadil perlawanan, Ryuji Sato mendakwa Brendan Gan melakukan kekasaran terhadap Nguyen Van Toan.

Ketua pasukan, Que Ngoc Hai yang mengambil sepakan tersebut tidak berdepan masalah untuk kembali meletakkan skuad Naga Emas itu di hadapan sekali gus menghadiahkan kemenangan kelima buat Vietnam.

 

 

 

 

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group