Selepas diselubungi dengan beberapa berita buruk sejak akhir-akhir ini, penyokong pasukan Perak ada sebab tersendiri untuk sedikit mengukir senyuman apabila skuad muda bimbingan Yusri Che Lah itu berjaya menundukkan Penang FC 2-0 pada aksi persahabatan di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Keadaan padang yang tidak berada dalam keadaan baik akibat hujan yang melanda tidak menghalang barisan pemain Perak untuk menampilkan corak permainan hantaran pendek untuk memerangkap skuad kendalian Thomas Trucha itu.

Pada perlawanan tersebut, Yusri memberikan indikasi jelas bahawa pemain-pemain yang majoritinya daripada Perak II [musim lalu] akan menggalas tanggungjawab pasukan dalam saingan Liga Premier 2022.

Ia berikutan larangan pendaftaran terhadap 15 pemain baharu dikenakan oleh Malaysian Football League (MFL) berikutan masalah tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan kelab tersebut terutamanya melibatkan pemain import dan ejen mereka.

Kredit Foto: Perak Football Club

Ia bagaimanapun tidak menganggu tumpuan Perak untuk mendapatkan jaringan pembukaan apabila Alif Zikri bijak melorongkan bola kepada Royizzat Daud yang kemudiannya tidak berdepan masalah untuk menewaskan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy seawal minit kelima perlawanan.

Memasuki babak kedua, para pemain Perak yang pasti akan terlepas lapan perlawanan awal liga dimasukkan oleh Yusri dan ia jelas menambah kekuatan skuad The Bos Gaurus itu.

Malah kemasukan pemain pertahanan, Mohamad Khairul Asyraf Ramli jelas mencuri tumpuan apabila beliau beberapa kali memberikan ancaman kepada Hafizul dengan percubaan menarik daripada luar kawasan penalti.

Usaha tidak henti daripada Khairul Asyraf akhirnya membuahkan hasil apabila ledakannya dari kawasan sendiri [tengah padang] pada minit ke-80 tanpa disangka-sangka berjaya menghukum Hafizul Hakim yang sedikit keluar daripada posisinya untuk memberikan jaringan kedua buat Perak.

Lebih signifikan untuk diperkatakan walaupun ia hanyalah satu perlawanan persahabatan, Khairul Asyraf merupakan bekas pemain Penang FC pada musim lalu manakala Hafizul Hakim seperti diketahui adalah tunjang kekuatan buat Perak sejak dari tahun 2016 sehingga 2021.

Keputusan perlawanan ini juga mendapat perhatian penyokong kedua-dua pasukan dimana peminat Penang FC kelihatan gusar dengan aksi ditampilkan selepas mereka tewas kepada dua pasukan Liga Premier manakala penyokong Perak pula cukup gembira dengan aksi pemain muda mereka.