Pasukan Pahang membawa bekalan selesa menuju ke perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala FA 2019 apabila mencatat kemenangan 3-1 ketika menerima kunjungan Perak pada perlawanan pertama semalam.

Pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan pemain pertahanan import pasukan, Herold Goulon masing-masing menyumbang jaringan bagi meletakkan Pahang di kedudukan selesa.

Kemenangan Pahang semalam diwarnai dengan jaringan dari jarak jauh yang dilakukan oleh Herold. Sepakan percuma dari kawasan sendiri yang diambil Herold berjaya menewaskan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim sekaligus memberikan kemenangan 3-1 kepada pasukan tuan rumah.

Seperti biasa, apabila ada gol dijaringkan daripada jarak jauh dalam saingan Liga Malaysia, peminat mula berpendapat bahawa gol Herold wajar dicalonkan bagi Anugerah Puskas. Namun, adakah jaringan Herold mempunyai kualiti untuk dicalonkan?

Ada yang berpendapat jaringan tersebut wajar dicalonkan kerana ianya diambil dari kawasan Pahang dan bukan mudah untuk melakukan satu rembatan kencang yang terus menerjah gawang Perak.

Herold Goulon
Sumber Gambar: Pahang FA

Akan tetapi, ada yang berpendapat gol tersebut tidak perlu dicalonkan untuk Anugerah Puskas kerana Hafizul Hakim membuat kesilapan dengan berada sedikit jauh daripada pintu gol beliau dan mana-mana pemain mampu untuk mengesan kesilapan Hafizul dan melakukan rembatan terus.

Walau apa pun, masih lagi tiada pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Pahang (PFA) sama ada mahu membawa jaringan Herold ke peringkat lebih tinggi.

Untuk rekod, Malaysia pernah memenangi anugerah gol tercantik Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Faiz Subri pada 2016 menerusi sepakan percuma yang dianggap ‘melanggar’ hukum fizik.