Semalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan senarai 10 jaringan terbaik yang dipilih untuk bertanding dalam Anugerah Puskas 2019. Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mengesahkan telah menghantar dua pencalonan ke anugerah tersebut.

Dua jaringan yang dicalonkan ialah jaringan sepakan percuma jarak jauh pemain import Pahang, Herold Goulon ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA pada bulan Jun dan rembatan dari luar kotak penalti oleh pemain skuad Harimau Malaya, Syahmi Safari ketika saingan Piala AFF tahun lepas.

xdkez9vaaj7ntjlmbztv-1200×675
PUSKAS

Bagaimanapun, nama Herold Goulon dan Syahmi Safari tidak berjaya berada dalam senarai 10 terbaik seperti yang diumumkan oleh FIFA.

Pemain yang dipilih dalam senarai tersebut ialah Matheus Cunha (RB Leipzig), ​Juan Fernando Quintero (River Plate), ​Zlatan Ibrahimovic (LA Galaxy), ​Lionel Messi (Barcelona), ​Ajara Nchout (Cameroon), ​Fabio Quaqliarella (Sampdoria), ​Amy Rodriguez (Utah Royals), Billie Simpson (​Cliftonville Ladies), Andros Townsend​ (Crystal Palace) dan Daniel Zsori​ (Debrecen).

Ia keputusan yang agak mengejutkan kerana jaringan Goulon tersebut bukan sahaja menjadi bualan peminat bola sepak tempatan tetapi turut mendapat liputan yang meluas daripada media antarabangsa.

Proses undian jaringan tersebut akan bermula pada 1 September 2019 dimana para peminat dari seluruh dunia berpeluang mengundi secara ‘online’ di laman web rasmi FIFA. Kemudian panel FIFA akan memilih pemenang daripada tiga jaringan yang mendapat undian terbanyak.

Pemenang anugerah Puskas 2019 akan diumumkan dalam satu majlis anugerah FIFA yang berlansung pada 23 September 2019 di Milan, Itali. Tahun lepas, bintang Liverpool, Mohammad Salah muncul sebagai pemenang selepas mengetepikan Cristiano Ronaldo, Neymar dan Oliver Giroud.

gettyimages-1039445218-594×594-1
(Photo by Alexander Hassenstein – FIFA/FIFA via Getty Images)

Sebelum ini, seorang pemain tempatan, Faiz Subri pernah mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama dari Malaysia yang memenangi Anugerah PUSKAS pada tahun 2016. Jaringannya itu telah memukau peminat bola sepak dunia dan dikatakan telah melanggar “hukum fizik”.

Faiz juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah itu yang diambil sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

Bekas pemain Pulau Pinang itu mengetepikan 2 lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi pemain Portugal, Cristiano Ronaldo pada 2009.