Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

James Rodriguez telah melakukan tindakan cekap dan menjadi wira penyelamat kepada pemain lawan yang terkena serangan jantung ketika beraksi.

Di mana bekas pemain Real Madrid dan Everton itu bergegas membantu pemain lawan, Ousmane Coulibaly yang terkena serangan jantung di kawasan gol.

James Rodriguez membantu pemain itu dengan memastikan kedudukan kepala Ousmane Coulibaly dalam keadaan yang betul untuk membolehkan udara masuk.

Rodriguez kini bermain untuk Al-Rayyan di Qatar. Aksi heroic itu berlaku dalam perlawanan antara Al-Rayyan menentang Al-Wakrah dalam Liga Qatar pada Isnin lalu.

Rodriguez dipuji kerana dia ternyata memiliki ilmu bantuan kecemasan yang sangat cekap dalam keadaan kecemasan tersebut.

Tindakan Rodriguez telah menyelamatkan Coulibaly daripada meninggal dunia mengejut di tempat kejadian. Kemudian petugas perubatan bergegas masuk ke dalam padang.

Coulibaly kemudiannya dikejarkan ke hospital dan kelabnya sudah mengeluarkan kenyataan bahawa pemain itu dalam keadaan stabil.

Doktor yang merawat Coulibaly mengesahkan bahawa tindakan James itu menjadi titik penting dalam menyelamatkan nyawa pemain itu.

Isteri Coulibaly berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelamatkan nyawa suaminya. Isterinya berkata: “Terima kasih kepada semua mesej sokongan dan sayang daripada anda. Ousmane dalam keadaan stabil selepas serangan jantung. Dia beransur ansur semakin sedarkan diri.”

“Jangan risau, dia berada di tangan orang yang hebat ketika ini. Alhamdullilah, syukur kepada Allah dan terima kasih kepada doktor yang menyelamatkan nyawa suami saya. Terima kasih kepada semua staf dan pasukan Al Wakrah SC.”

“Saya menghargai semua jasa anda kepada kami. Teruskan berdoa.”

Perlawanan ini adalah perlawanan yang ditunda sebelum ini. Dalam aksi yang dilangsungkan, Al Rayyan menang 3-0 termasuk dua gol daripada James Rodriguez.

Pentingnya ilmu pertolongan cemas dalam situasi getir seperti itu. Sebelum ini dalam Euro 2020, pemain Denmar, Simon Kjaer berjaya menyelamatkan nyawa rakan sepasukannya, Christian Eriksen dengan membantu mengosongkan saluran udara pemain itu ketika serangan jantung.

Kemenangan itu membolehkan Al Rayyan naik ke tangga kelapan dalam carta Liga Qatar.

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group