Bekas pemain skuad kebangsaan, Datuk Jamal Nasir menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengambil tindakan terhadap pengendali skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak kerana beliau dianggap melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Menurut Datuk Nasir, bekas ketua jurulatih Kelantan dan Johor Darul Ta’zim itu harus diadili menggunakan artikel 88 yang melarang penggiat bola sepak tempatan mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen di media berhubung isu yang membabitkan FAM tanpa kebenaran.

“JANGAN ada ‘double standard’. FAM kena adil dan tegas dalam isu Bojan Hodak kalau tidak FAM akan hilang kepercayaan penyokong tempatan.

“Satu Malaysia tahu beliau mengkritik bola sepak negara seolah-olah sistem kita selama ini gagal melahirkan pemain berkualiti. Mungkin apa yang beliau sampaikan ada kebenaran tetapi perlu ingat ada juga anak tempatan (jurulatih) pernah kena gantung sebab mengkritik pentadbiran FAM.

“Malah, ada juga digantung kerana mengkritik mutu liga, pengadil, mutu padang dan sebagainya. Biarpun apa yang disampaikan betul, mereka tetap digantung oleh FAM yang menyatakan mereka melanggar artikel 88.

“Jadi dah hampir sebulan nak sebulan, kita masih tak dengar yang Hodak dikenakan apa-apa tindakan sedangkan jelas beliau melanggar artikel 88. Adakah disebabkan beliau jurulatih import, ada keistimewaan tertentu sedangkan jurulatih tempatanlah yang selama ini berjaya menghadiahkan Kejuaraan Piala AFF pada 2010 (Datuk K Rajagobal) serta pingat emas Sukan SEA 2011 (Datuk Ong Kim Swee),” katanya menurut laporan Harian Metro.

Jamal Nasir turut menggesa FAM untuk mencari ketua jurulatih yang baru bagi menggantikan Bojan untuk mengendalikan skuad bawah 19 tahun negara apabila kontrak pengendali dari Croatia itu tamat pada Jun ini.

“Kontraknya akan berakhir Julai ini, jadi pada saya FAM boleh fikirkan jurulatih lain kerana beliau jelas memalukan bola sepak kita,” tambahnya.

Bojan sebelum ini mengkritik sistem pembangunan akar umbi bola sepak Malaysia selepas pasukannya menampilkan prestasi buruk dalam kejohanan Piala Sanix di Jepun bulan lalu. FAM telah meminta surat tunjuk sebab daripada Bojan dan memberikan masa sehingga ke hari ini untuk jurulatih itu memberikan maklum balas.