Bukan dipaksa tetapi sebenarnya pilihan sendiri oleh Muhd. Jafri Firdaus Chew yang kini beralih posisi penyerang ke pertahanan kanan bersama Penang FC.

Malah keputusan itu diambil demi memastikan dia boleh mendapat minit bermain yang lebih kerap setelah berusaha sebaik mungkin untuk bersaing dengan penyerang import.

“Saya sendiri sebenarnya tawarkan diri kepada jurulatih mahu bermain di posisi pertahanan kanan kerana akui sukar hendak dapat peluang jika terus menunggu beraksi di sebagai penyerang.”

Jafri Firdaus Bersyukur Keyakinan Diri Sudah Kembali

“Walaupun saya tidak pernah ada pengalaman bermain di posisi ini sejak dulu, saya tidak gentar mengambil risiko ini selepas ada mencuba beberapa kali semasa sesi latihan.”

“Alhamdulilah, jurulatih boleh menerima permintaan saya malah tidak sangka, terus diberi peluang berada dalam kesebelasan utama ketika berdepan JDT pada separuh akhir Piala FA.”

“Selepas beberapa perlawanan, saya semakin selesa beraksi di posisi ini walaupun tidak dinafikan masih banyak lagi perkara perlu belajar terutama
dalam penyesuaian posisi ketika bertahan serta menjaga kedudukan pemain lawan.”

“Harap ramai peminat Pulau Pinang tidak terkejut dengan keputusan ini kerana saya rasa ada kemampuan bermain di posisi pertahanan kerana paling penting saya boleh lebih kerap untuk bermain,” katanya.

Jafri telah diturunkan dalam 3 perlawanan terakhir bersama Penang di posisi berkenaan dan dilihat telah menjadi pilihan utama Zainal walaupun
ada pilihan seperti Fairuz Zakaria.

Kredit Foto: Penang Football Club

Berusia 25 tahun, Jafri Firdaus sebelum ini memulakan karier bersama Harimau Muda sejak tahun 2013 sebelum bersama Penang selama dua musim pada tahun 2016
dan 2017 selain PKNS (2018-2019) dan kembali ke Penang pada musim ini.

Bakal bertandang ke Stadium Darul Aman pada Jumaat berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Jafri tidak menafikan Penang perlu segera mendapatkan rentak
kemenangan jika mahu tampil di pentas TM Piala Malaysia 2022.

Ketinggalan 7 mata di belakang pasukan di tangga ke-11, Sarawak United, peluang masih ada kepada Penang memandangkan masih ada baki enam perlawanan.

“Peluang masih ada untuk kami kejar kedudukan pasukan-pasukan lain sekiranya mahu layak ke Piala Malaysia tetapi kami tidak boleh lagi keciciran sebarang mata.”

“Bermula dengan Kedah, Penang wajib mendapatkan mata biarpun sedar pertembungan dengan jiran kami ini selalunya sengit dan membangkitkan semangat yang berbeza.

“Walaupun bertandang ke tempat lawan, saya tetap optimis kami mampu melakar sesuatu dan jika kami boleh elakkan banyak kesilapan, tiada apa yang mustahil,” katanya.

Kredit Featured Image: Penang Football Club