Pengendali pasukan PKNS FC, Datuk K.Rajagopal berpendapat jadual yang padat telah menjejaskan rentak pasukan bimbingannya dimana The Red Ants tewas kepada Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan Liga Super 2019 dengan keputusan 3-1 semalam.

Menurut Raja, tempoh persiapan yang singkat menyebabkan pasukannya mengalami kekalahan sekaligus gagal memperbaiki kedudukan dalam carta Liga. Malah, beliau berpendapat perkara ini bukan sahaja terjadi kepada PKNS malah pasukan lain turut menerima tempias.

“Persoalannya adakah kekuatan yang mencukupi dalam pasukan. Jika kekuatan yang mencukupi maka tidak perlu risau tetapi jika tidak cukup kekuatan, kena fikirlah bagaimana mahu kekalkan momentum.

“Setiap perlawanan yang diharungi pasti berdepan dengan pasukan yang kuat, oleh itu persiapan yang mencukupi amat perlu dan saya anggap semua pasukan berdepan situasi yang sukar apabila berdepan jadual perlawanan yang padat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Dengan kemenangan semalam, JDT mengukuhkan lagi cengkaman di persada Liga manakala PKNS FC pula jatuh ke tangga kelima.

Minggu hadapan, PKNS akan turun menentang Kuala Lumpur manakala JDT pula akan menentang pasukan Pahang.