Pemain kacukan negara, Jaami Qureshi dikhabarkan sedang menjalani ujian bersama salah satu kelab yang dimiliki oleh taikun dari Malaysia, Tan Sri Vincet Tan iaitu Cardiff City.

Perkara ini dikongsikan oleh Harimau Abroad dimana Jaami turun beraksi bersama skuad Cardiff B-23 tahun ketika menentang Coventry City pada semalam yang menyaksikan pasukan itu menang dengan keputusan 2-1.

Pemain berusia 18 tahun yang beraksi di posisi sayap ini menampilkan prestasi yang baik bersama Brighton & Hove Albion dimana beliau mempunyai catatan purata 4 gol dalam setiap perlawanan.

Musim lalu, Jaami membantu Brighton menjuarai saingan Premier League Cup B-17 tahun selepas mengalahkan Middlesbrough di pentas akhir. Sepanjang saingan peringkat kumpulan dan kalah mati, Qureshi menyumbang satu gol iaitu pada perlawanan suku akhir menentang Southampton yang mana Brighton berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 6-1.

Harapan peminat bola sepak tanah air untuk melihat Jaami Qureshi untuk beraksi bersama Malaysia mungkin tidak kesampaian apabila pemain itu memberi bayangan bahawa beliau bakal beraksi bersama skuad kebangsaan Iraq di peringkat antarabangsa.

Menurut perkongsian Harimau Abroad, Jaami memberikan mesej kepada peminat Iraq dimana beliau mengucapkan terima kasih di atas segala sokongan yang diberikan kepadanya.

“Kepada peminat Iraq, terima kasih di atas sokongan anda terhadap saya dan saya harap kita dapat bertemu dalam waktu terdekat,” kata Jaami.

Sebelumnya, bapa Jaami Qureshi iaitu Perviz Qureshi mendedahkan skuad kebangsaan Iraq ada menghubungi anaknya mengenai kemungkinan untuk beraksi bersama pasukan itu.

Menurut Perviz, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menghubungi mereka pada Jun tahun 2020 dan namun tiada sebarang perbincangan lanjut mengenai usaha meyakinkan Jaami untuk beraksi bersama pasukan negara.

Jaami mempunyai pertalian darah dengan Malaysia melalui ibunya yang berasal dari Manjoi, Perak sekaligus membolehkan pemain berusia 18 tahun ini beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Sebelum ini, Malaysia kehilangan khidmat seorang lagi pemain muda, Isaac Angking yang lebih memilih untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Puerto Rico berbanding Malaysia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Eropah di sini:

Lukaku Mahu Pulang Ke Inter, Namun Harus Terima Pengurangan Gaji

Tidak Dibayar Gaji, Egy Maulana Dan Witan Sulaeman Tinggalkan FK Senica

EPL: Liverpool Humban Everton Ke Zon Penyingkiran