Berita kurang gembira bagi pasukan negara apabila pemain kacukan, Jaami Qureshi memberi bayangan bahawa beliau bakal beraksi bersama skuad kebangsaan Iraq di peringkat antarabangsa.

Menurut perkongsian Harimau Abroad, Jaami memberikan mesej kepada peminat Iraq dimana beliau mengucapkan terima kasih di atas segala sokongan yang diberikan kepadanya.

“Peminat Iraq, terima kasih di atas sokongan anda dan saya harap kita dapat bertemu dalam waktu terdekat,” kata Jaami.

Sebelumnya, bapa Jaami Qureshi iaitu Perviz Qureshi mendedahkan skuad kebangsaan Iraq ada menghubungi anaknya mengenai kemungkinan untuk beraksi bersama pasukan itu.

Menurut Perviz, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menghubungi mereka pada Jun tahun 2020 dan namun tiada sebarang perbincangan lanjut mengenai usaha meyakinkan Jaami untuk beraksi bersama pasukan negara.

Jaami mempunyai pertalian darah dengan Malaysia melalui ibunya yang berasal dari Manjoi, Perak sekaligus membolehkan pemain berusia 18 tahun ini beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Pada 2020, skuad B-19 tahun negara kendalian Brad Maloney berminat untuk mendapatkan khidmat Jaami bagi membantu pasukan yang akan beraksi dalam saingan AFC B-19 Tahun di Uzbekistan.

Namun hasrat tersebut tidak menjadi kenyataan kerana Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membatalkan kejohanan tersebut ekoran pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.

Sebelum ini, Malaysia kehilangan khidmat seorang lagi pemain muda, Isaac Angking yang lebih memilih untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Puerto Rico berbanding Malaysia.

Bekas pemain New England Revolution di saingan Major League Soccer (MLS) itu mempunyai pertalian dengan Malaysia melalui ibunya yang berasal dari Sarawak.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Senarai Calon Ketua Jurulatih Baharu Skuad Harimau Malaya

Dennis Buschening Isi Kuota Pemain Import ASEAN Kedah Darul Aman

Isu Tunggakan Gaji Melaka United Selesai