Pemain kacukan Malaysia-Iraq, Jaami Qureshi mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sekaligus memaksa beliau untuk berehat panjang.

Perkara ini dikongsikan oleh Harimau Abroad di laman media sosial Twitter dimana Jaami terpaksa melupakan baki saingan musim 2022/2023 ekoran kecederaan serius yang dialami.

Sebelum ini, Jaami Qureshi menegaskan beliau tidak akan memohon pasport Malaysia yang menjadi keperluan sekiranya beliau mahu beraksi bersama skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa kerana enggan melepaskan pasport British yang dipegangnya ketika ini.

“Saya memilih untuk kekal di England buat masa ini dan tidak akan memohon pasport Malaysia untuk bergelar pemain tempatan. Saya lihat ramai peminat Malaysia gembira dengan pencapaian saya di sana kerana tidak ramai pemain Malaysia bermain di England. Jadi sebagai pemain berdarah kacukan Malaysia, saya juga bangga,” katanya.

Pada Julai tahun ini, bapa Jaami iaitu Perviz menerima kritikan hebat dari peminat bola sepak tanah air selepas mengkritik tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang enggan berjumpa dengannya ketika lawatannya ke Wisma FAM pada 16 Jun lalu.

Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Perviz menuduh Datuk Hamidin tidak menghormatinya dan enggan untuk bertemu dengan anaknya selain tidak memperkenalkan Jaami kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon.

Perkara ini nyata membangkitkan kemarahan peminat dimana mereka menilai Jaami sebagai seorang pemain terlalu ‘diva’ dan mahu dilayan seperti seorang bintang walhal beliau hanya seorang pemain muda yang beraksi di akademi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

Peminat juga menggesa agar FAM tidak melayan segala permintaan Perviz mengenai anaknya dan lebih fokus kepada pemain muda yang beraksi dalam Liga Malaysia ketika ini. Bahkan, ada peminat yang membandingkan sikap Jaami dengan seorang lagi pemain kacukan, Dion Cools yang menunjukkan komitmen penuh bagi beraksi bersama Malaysia dimana Dion sanggup untuk mengikuti segala peraturan bagi membolehkannya beraksi bersama pasukan negara.

Sebagai makluman, Jaami Qureshi masih belum menyertai mana-mana pasukan selepas beliau dilepaskan oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brighton & Hove Albion pada penghujung musim 2021/2022.