Musim 2023 diharapkan bakal menjadi detik paling menyinar buat penjaga gol berpengalaman, Izham Tarmizi, yang menyahut cabaran bersama Sri Pahang FC.

Malah, dia semakin tidak sabar untuk membuktikan bisanya beraksi di pentas tertinggi masih belum pudar dan sedia membawa Sri Pahang menjadi salah sebuah pencabar kejuaraan Liga Malaysia.

Selain itu, penjaga gol yang bakal menginjak usia 32 tahun tersebut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerana sudi melepaskan secara pinjaman ke Sri Pahang, musim ini.

“Saya memilih jalan ini kerana fikirkan yang terbaik buat diri saya dan keluarga kerana mahu perbaiki minit permainan yang agak kurang dalam tempoh dua ke tiga tahun ini.”

“Malah, saya bukan sahaja mencari kembali rentak terbaik semasa di Sri Pahang tetapi cuba memburu kembali tempat dalam pasukan kebangsaan.”

“Namun saya sedar bukan segalanya mudah apabila tiba ke sini dengan jaminan sudah berada dalam kesebelasan utama kerana saya tetap akan berusaha di dalam latihan.”

“Sebagai pemain profesional, saya tidak boleh terlalu memikirkan perbezaan antara JDT dan Sri Pahang kerana tujuan saya ke sini adalah mahu mendapat pengalaman baharu dalam karier.”

” Saya juga mahu beri penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor(TMJ) yang sudi melepaskan saya setelah berbincang dengan beliau dan berjaya mencapai kata putus dengan pengurusan Sri Pahang, terima kasih kepada kedua-dua pasukan,” katanya.

Izham dalam tempoh beberapa musim ini banyak diletakkan di JDT II dan dilihat menjadi pilihan ketiga selepas Farizal Marlias dan Haziq Nadzli.

Dia mula bersama JDT sejak musim 2014 sebaik khidmatnya berakhir dengan Harimau Muda serta membantu pasukan Harimau Selatan itu memenangi pelbagai kejuaraan.

Pernah diturunkan pada pentas final Piala Malaysia 2017 dan Piala FA 2016, Izham membantu JDT menang pada kedua-dua aksi final berkenaan.

Menyentuh mengenai potensi Sri Pahang, Izham mengakui skuad Tok Gajah ada keupayaan tersendiri dan semua pemain mampu menjalinkan kerjasama dengan baik.

” Sejak saya menyertai latihan beberapa hari dengan Sri Pahang, saya agak kagum dengan kerjasama yang diberikan semua pemain termasuk bakat-bakat muda yang baharu dinaikkan dari Piala Presiden.

” Situasi ini sesuatu yang baik kepada pasukan kerana memudahkan perancangan jurulatih terutama dalam soal pelaksanaan taktikal menjelang musim baharu ini,” tambah Izham Tarmizi lagi.