Skuad Tok Gajah bakal jadi antara pencabar terkuat Liga Malaysia musim depan apabila mengumumkan kemasukan dua pemain tempatan berpengalaman daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dua pemain yang dimaksudkan ialah penjaga gol, Izham Tarmizi dan pemain pertahanan kanan, Azrif Nasrulhaq. Mereka berdua menyertai Sri Pahang secara pinjaman selama semusim.

Izham yang kini berusia 31 tahun dibawa masuk untuk memperkasa benteng terakhir dan bakal merebut posisi nombor satu seterusnya mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh penjaga gol import, Mamadou Samassa.

Ketenangan dan ketangkasan bekas pemain Harimau Muda yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2011 ini di gawang, dilihat bakal menjadi azimat berguna buat Sri Pahang.

Izham juga mempunyai pengalaman membantu JDT menjuarai Piala AFC pada tahun 2015 serta pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik PFAM pada bulan Mei 2016.

Manakala Azrif yang mencipta nama bersama PKNS FC pernah membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia pada musim 2015.

Selepas tujuh musim bersama JDT, Azrif yang turut mempunyai kap bersama skuad B-23 dan senior kebangsaan memilih untuk keluar dari zon selesa dan sudah bersedia menulis skrip baru dalam kariernya.

Selain dua pemain tersebut, Sri Pahang semalam turut mengumumkan kemasukan pemain pertahanan tengah berpengalaman, Fadhli Shas dan pemain pertahanan kiri, Syazwan Andik.

Tok Gajah dijangka akan membawa masuk beberapa lagi pemain tempatan dan import baharu untuk memperkuatkan bahagian serangan. Pengumuman rasmi mengenai pemain tersebut bakal dilakukan dalam masa terdekat.